Bos jadikan aku monster
Kesihatan Mental

Bos Jadikan Aku Monster

Bos aku seorang founder produk. Syarikatnya besar juga. Bos aku ni kiranya seorang yang sangat berjaya sebab ada banyak syarikat yang dia uruskan.

Bos aku ni kategori Islamik sikit. Setiap hari kami semua diterapkan dengan ajaran islam melalui aktiviti harian sebelum memulakan kerja. Kami baca doa, baca surah, diajar solat Dhuha, diajar solat taubat, solat hajat dan pelbagai lagi ilmu keagamaan yang bersilih ganti ustaz dan ustazah dijemput untuk datang mengajar.

Bos aku dipandang tinggi oleh masyarakat. Ramai founder lain berasa cemburu dengan kejayaan bos aku menerajui syarikat. Syarikat kami berkembang maju dan terkenal di seluruh Asia. Nama bos dan syarikat kami sering disebut-sebut sebagai sebuah jenama terbaik bukan saja dari segi penghasilan produk, malah mempunyai pasukan terbaik dalam menguruskan syarikat. Tetapi, kalau orang luar tahu apa yang berlaku di dalam syarikat. Pasti mereka akan terkejut. Sebabnya, setiap kejayaan dan rekod yang dicanangkan kepada orang luar, semuanya adalah dusta semata. Tiada yang benar langsung. Aku jadi staf pun malu sebenarnya. Malu giler kalau orang tahu.

Bos aku ni sangat sibuk. Bagi dia, hidup perlu sentiasa bekerja. Tiada rehat. Itulah yang diterapkan kepada kami. Dia cukup pantang kalau staf tak jawab telefon walau masa tu adalah waktu tidur. Bagi dia, waktu tidur hanya cukup 2-3 jam saja setiap hari.

Dia akan melenting kalau staf balik rumah selepas waktu kerja jam 6 petang. Dia juga akan sentiasa call dan whatsapp staf semasa hari cuti mingguan sabtu dan ahad. Apatah lagi semasa Public Holiday. Itu adalah masa untuk bekerja, panggil meeting dan suruh datang ke rumah hantar report. Bos akan membebel kalau staf nak ambil Annual Leave mahupun pergi holiday bersama family. Setiap kali dia membebel, aku akan rasa aku ni seorang loser yang telah memufliskan syarikat je gayanya. Dia akan marah sesiapa saja di depan mata dia kalau dapat tahu ada staf yang bercuti walau dah dapat kebenaran dia.

Semenjak bekerja dengan syarikat ni, aku diserang stress dan depression kerana sikap bos yang buruk. Ia sampai jadi tahap, aku takut dengar telefon berdering, cepat-cepat aku akan menjawab dan jantung aku akan berdegup pantas macam baru selesai lari marathon. Kalau dengar bunyi whatsapp masuk pun, jantung aku berdebar-debar kencang. Takut sangat kena marah. Takut sangat ada report yang salah atau task yang tak buat.

Sudah 2 tahun aku tak bercuti. Ya, aku memang ada dapat Annual Leave. Tetapi aku sentiasa dipanggil masuk kerja pada hari cuti yang aku berhak untuk ambil. Apabila hujung tahun dan didapati cuti aku sangat banyak, bos cakap aku tak uruskan hidup aku dan cuti aku dengan baik. Siap kena warning supaya tak buat lagi. Oh ya! Warning letter ni adalah makanan harian bos aku. Asal ada je yang dia tak gemar dengan kami, setepek warning letter kami akan terima daripada HR. Setakat ni, itulah medal dan rekod kejayaan aku sepanjang bekerja di syarikat ni.

Semenjak tu, aku dah pasrah. Tak berani nak ambil cuti langsung. Walaupun ada kecemasan dalam keluarga, semuanya aku serahkan kepada adik beradik untuk uruskan. Bayangkan la, nak masak atau nak ke toilet pun aku takut. Sudah beberapa tahun ni, aku takut sangat nak masak di rumah sebab risau semasa sibuk memasak, aku tak dengar bos call atau tiba-tiba bos nak buat meeting. Aku rasa hidup aku sangat pathetic. Sedih!

Kenapa aku tak tinggalkan je syarikat ni? Jangan risau, aku tetap akan tinggalkan syarikat ni suatu hari nanti. Tetapi selepas aku berjaya capai impian aku. Buat sementara ni, aku terpaksa bertahan. Impian aku insyaAllah akan dapat dicapai dalam sedikit masa lagi. Banyak sudah kezaliman yang bos dah buat terhadap aku. Dia zalim dengan masa tidur aku, cuti mingguan aku, Public Holiday aku, Annual Leave aku.

Aku tak pernah MC, tak pernah EL. Bekerja 24/7 365. Aku demam pun masih masuk office dan tak berani pergi klinik untuk ambil ubat. Bukan aku saja, malah staf yang lain pun sama. Kalau MC, tetap kena buat kerja walau apa cara sekalipun. Aku rasa aku staf yang baik. Tapi masih tak cukup bagus untuk dia. Aku sangat komited dengan kerjaya dan aku tinggalkan keluarga aku demi keluarga dia. Bos aku sangat family oriented. Family oriented bos aku ni bermaksud, staf adalah hakmilik kekal dia yang wajib ada dalam setiap majlis keluarga dia. Kalau ada yang tak hadir, siaplah, kena marah.

Gaji? Kat sini gaji basic saja. Double pay atau triple pay jika bekerja semasa cuti atau selepas working hours tu memang tak wujud dalam kamus syarikat ni. Kalau minta, memang kena reject saja. Paling best, sampai sekarang aku takde offer letter. Amacam?

Korang doakanlah aku dapat kerjaya yang lebih baik daripada apa yang aku ada sekarang. Aku bertahan ni pun sebab nak gaji yang seciput tu je. Sambil cari lubang kerja lain. Bos aku cakap, kalau nak cari kerja di musim COVID ni, memang payah. Tapi aku percaya, Allah kan Maha Memberi Rezeki. InsyaAllah, aku juga percaya, Allah akan balas kezaliman bos terhadap kami ni sooner or sooner. Hakikatnya, ia dah pun berlaku terhadap syarikat ni. Aku sangat bersyukur. Dengan setiap cabaran yang bos dan syarikat tanggung sekarang, bos dah mula tahu bercakap guna bahasa yang baik dan belajar minta maaf dengan kami. Cuma dia masih tak boleh buang tabiat buruk bab menipu kepada masyarakat. Kalau sebelum ni, maki hamun adalah zikir harian dia kepada kami. Setakat ayat “bodoh”, “takde otak”, “pemalas” tu, bagi aku ayat biasa macam mak-mak pujuk anak nak tidur. Dah lali.

Menangis? Sampai tak ada air mata dah. Hati aku dah beku dan keras sekarang berbanding dulu. Sebabnya, aku kini bukan lagi seorang manusia. Hasil didikan bos, aku pun dah jadi monster.

Setiap artikel akan dibayar RM8