Pelbagai

Dilemma wanita tidak mengandung

Assalamualaikum

Aku berumur 40 tahun dan sudah berumahtangga 6 tahun. Aku merupakan penghidap penyakit secondary amnorea. Penyakit berkaitan kesuburan kaum wanita.

Pada mulanya aku sama seperti wanita normal lain mengalami haid pada tiap bulan. Sedari usia 12 tahun hingga la pada usia aku 20 tahun haid aku normal. Namun apakah puncanya secara tiba-tiba pada awal usia 20an haid aku mula menunjukkan keadaan abnormal.Aku bleeding selama setahun.Ya setahun!.

Bermula lah episode sedih aku.

Aku buat keputusan untuk bertemu dengan doktor di hospital.Aku akur dengan rawatan dan nasihat doktor. Segala tok nenek ubat yang doktor bekalkan aku makan.
Entah di mana silapnya selepas beberapa rawatan haid aku berhenti hingga sekarang.
Hampir 12 tahun aku gigih ke hospital. Beberapa orang pakar sakit puan telah merawat aku.

Hampa. Haid aku terus kering hingga sekarang.

Pada tahun 2006 pihak O&G telah memutuskan untuk discharge kes. Para doktor tidak menemui jawapan masalah yang aku hadapi.

Aku di pindahkan ke unit Endokrin. Pada awalnya doktor mengesyaki aku menghidap tumor otak. Fuh. Gelap sekejap dunia aku.

Tapi aku tetap jalani pelbagai ujian di hospital. Akhirnya doktor sahkan aku bebas tumor otak. Pelbagai jenis pil hormone yang doktor bekalkan menyebabkan berat aku bertambah mendadak.

Umurku pula makin meningkat. Di sebabkan haid yang tidak normal aku banyak menolak lamaran dari jejaka. Aku khuatir jika tidak dapat melahirkan zuriat.Walaupun waktu itu doktor belum mengesahkan peluang untuk aku hamil.

Aku tetap setia bertemu doktor dan berbincang kaedah rawatan yang sesuai.
Sepanjang proses rawatan aku beberapa kali putus cinta dan sekali putus tunang. Aku paham.Lelaki mana yang sudi ambil risiko tiada zuriat. Sedih memang sedih. Pernah satu ketika aku buat keputusan untuk berkahwin dengan duda anak 2 semata-mata untuk mengelakkan perbalahan di kemudian hari.

Sekali lagi aku kecewa bila keluarga aku tidak merestui keputusanku. Sepanjang proses rawatan keluarga aku tidak ambil berat. Mungkin kalau aku penghidap kanser keadaan sedikit berbeza.

Pada tahun 2013 aku berjumpa dengan seorang lelaki yang ikhlas terima keadaan aku.
Alhamdulillah kami pun berkahwin dengan syarat die harus berterus terang dengan keluarga nya tentang keadaan aku.

Aku berbincang dengan doktor untuk berhenti rawatan kerana tiada sebarang perubahan. Doktor juga akur dengan keputusan itu.

Aku tidak putus berdoa semoga ada keajaiban berlaku.

Pada awal tahun 2017 saya terbaca informasi mengenai seorang professor dalam bidang sakit puan yang banyak pengalaman seperti aku.

Temujanji di atur. Setelah beberapa sesi rawatan dan consultation doktor pun keluar kan keputusan ujian.

Malang sekali bila doktor memberitahu peluang untuk aku pulih dan seterusnya mendapatkan zuriat tiada sama sekali.Teramat sedih.

Segala impian aku untuk menjadi ibu lebur sama sekali.
Hanya airmata yang menjadi saksi kepedihan ini.

Kepada suami ku..maafkan aku. Mungkin bukan di dunia kelak di syurga Allah sang anak menunggu kita.

Dan perkara yang buat aku sedih ialah tanggapan masyarakat. Kepada makcik nenek kakak adik kat luar sana berhenti lah mempersoalkan kehidupan peribadi orang. Mungkin ada yang terluka dengan soalan mesra anda. Dah lama kahwin bila nak beranak?
Aduhai.

Sempena syawal bakal tiba aku berdoa semoga terus kuat berhadapan dengan masyarakat penyayang di luar sana.

Kepada pembaca sekalian yang ada masalah kesihatan jangan pernah putus asa.
Terima kasih kerana sudi membaca.

Penulis: Rahina

Setiap artikel akan dibayar RM8