Kanser

EPISOD 2: KEPUTUSAN HISTOPATOLOGI – KANSER ITU RAHMAT YANG MENDIDIK JIWA.

Tulisan ini agak teknikal untuk memberi gambaran ringkas tentang penyakit kanser khususnya kanser payudara.

Ketika menunggu keputusan histopatologi, kepala saya ligat berfikir. Kepingan nota kuliah kanser dibelek. Jari pun laju melungsur skrin telefon pintar untuk mendapat maklumat terkini penyakit kanser.

Mata saya mula menyorot ke tahapan kanser. Kanser dibahagikan kepada tahap 0 sehingga 4. Tahap 0 adalah ductal carcinoma in situ. Ketika itu, melihat kondisi saya yang cergas, kami beranggapan mungkin kanser saya di tahap 2 ke atas. Kalau tahap 0 dan 1, ia boleh dirawat tanpa perlu pembedahan besar ataupun kalau bernasib baik tak perlu kemoterapi.

Namun fikiran jahat menerpa. Kerisauan menebak dada saya. “Apa jadi kalau dia berulang? Kan bagus kalau tahap 4 terus. Tak perlu fikir lagi. Tak perlu berjaga-jaga.”

Tahap keempat adalah yang paling digeruni ramai orang. Dengan gambaran tidak mungkin dapat kesembuhan lagi. Pada ketika ini kanser telah merebak ke organ lain ataupun tulang. Namun, Kadar hayat pesakit kanser bergantung kepada tahap kanser dan juga status reseptor yang ada pada sel badan pesakit. Boleh jadi pesakit yang mempunyai tahap tinggi mempunyai respon yang lebih baik pada rawatan. Walaupun tahap 4, kadang pesakit mempunyai tempoh bebas penyakitiaitu ketika sel kanser statik tidak membahagi. Bergantung kepada keseriusan penyakit.

Pesakit kanser yang mempunyai status hormon positif mempunyai kanser yang kurang aggresif. Status positif bagi hormon estrogen dan progesteron menunjukkan bahawa sel kanser mempunyai reseptor (tapak) untuk menerima signal daripada hormon estrogen dan progesteron. Apabila hormon ini melekat pada tapak yang terdapat pada sel kanser, ia akan memberi maklumat agar sel itu terus bercambah. Namun kanser jenis ini mudah dikawal kerana terdapat ubat yang dapat menghalang signal hormon ini daripada melekat pada tapak sel kanser atau merendahkan kadar hormon itu. Ubat ini menyerupai bentuk molekul hormon. Ia akan sama-sama berebut tapak lekatan yang ada pada sel kanser. Apabila ubat yang melekat pada tapak itu, sel kanser tidak akan mendapat maklumat untuk membahagi. Lazimnya, 85% kanser adalah jenis hormon positif dan kanser jenis ini sukar untuk merebak dan lebih mudah untuk ditangani.

Bagi pesakit yang mempunyai status gen HER2 positif, kansernya lebih ganas. Gen HER2 atau human epidermal growth 2 bertugas untuk menghasilkan protein yang membina sel lapisan epidermal. Sel pada badan manusia sentiasa diganti. Apabila sel baru bercambah, ia perlu melalui beberapa tapisan keselamatan. Namun, dalam kes kanser, gen HER2 ini tidak dapat dikawal oleh tapisan keselamatan badan. Ia terus bercambah dan membahagi tanpa henti mengakibatkan kejadian kanser. Namun, terdapat ubat yang dihasilkan untuk mengawal gen ini. Oleh itu, rawatan dan prognosis penyakit bergantung kepada jenis kanser. Bukan mengikut tahap kanser.

Oleh kerana ini jugalah pesakit yang mempunyai tahap yang sama mempunyai regim rawatan berbeza dan prognosis berbeza. Rawatan tidak dipukul rata mengikut tahap kanser. Beza jenis maka berbezalah ubat yang diterima kerana mahu kesan yang lebih spesifik.

Saya tahu, sekiranya kanser berada di tahap tiga dan empat, rawatan yang diberikan adalah bersifat paliatif bukan penyembuhan total. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit. Rawatan yang betul boleh memanjangkan hayat pesakit dan pesakit boleh hidup dalam keadaan sakit yang minimal berbanding mereka yang langsung tidak mendapat rawatan.

Saya akhirnya tertidur ketika sibuk membaca. Subuh itu saya bangun dan meneruskan tilawah al Quran. Mata saya singgah pada ayat Quran dalam surah ke 26 itu. Surah itu mengisahkan bagaimana Nabi Ibrahim menasihati bapanya. Ayat yang menarik perhatian saya setelah selang beberapa baris menyatakan Allah lah yang menyembuhkan bila sakit. Seolah-olah tuhan sedang memujuk hati saya. Seolah-olah peluang untuk sembuh itu besar buat saya. Dilanjutkan lagi bacaan pada ayat seterusnya. Beberapa rangkap doa turut dititipkan dalam surah itu. Saya tertarik untuk berdoa sama

“Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;
(Asy-Syu’araa’ 26:83)

“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;
(Asy-Syu’araa’ 26:84)

“Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;
(Asy-Syu’araa’ 26:85)

“Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat;
(Asy-Syu’araa’ 26:86)

“Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula –
(Asy-Syu’araa’ 26:87)

*****

“Eliyana, sel kanser ini IDC. Invasive ductal carcinoma.” Tersentak saya. Saya benar-benar tergamam. Maknanya sel kanser ini telah merebak keluar dari kelenjar. Bukan lagi setempat. Bukan seperti sangkaan awal kami.

Saya berharap hanya perlu membuat pembedahan lumpectomy. Iaitu prosedur untuk memotong ketulan tanpa membuang keseluruhan payudara. Biasanya lumpectomy dijalankan pada kanser tahap awal dan ketulan yang kecil.

“Eliyana, kalau ikut laporan awak ini, kanser awak hormonal positif. Estrogen dan progesteron positif. HER2 pula negatif. Saya ada minta CT scan segera. Khamis ini awak pergi skan. Esok awak boleh buat skan tulang dulu.” beritahu doktor. Dia sendiri ingin segera tahu tahap kanser saya.

Saya lega kerana status reseptor estrogen dan progesteron positif. Ada ubat yang dapat digunakan untuk menghalang tindakan hormon ini. Saya juga bersyukur yang status HER2 saya negatif. Ini bermakna sel kansernya tidaklah terlalu ganas dan cepat membahagi.

Sekali lagi saya bersyukur tahap kanser saya memang tahap tinggi. Tetapi status hormon lain membantu rawatan.

Dalam kepala saya, pelajaran mana yang lebih indah dari Allah yang menjadi gurunya. Ini pelajaran kehidupan seorang makhluk yang mendapat didikan terus dari Penciptanya. Apa lagi yang lebih indah kerana hanya Pencipta kenal benar ciptaanNya. Saya menangis sekali lagi. Allah tak membiarkan saya berjalan megah atas muka bumiNya. Kepala saya tunduk memandang lantai. Menitik-nitik air mata mengenang segala nikmat dan kemudahan yang Allah berikan pada saya sebelum dan setelah mendapat ujian besar ini. Atau saya suka gantikan perkataan ujian dengan didikan. Memang Allah bagi saya sakit, tapi dalam masa yang sama Allah mudahkan urusan hospital saya. Tarikh CT skan dan skan tulang tidak perlu menunggu lama. Rawatan pula dengan doktor pakar.

Kanser memang satu perjalanan ngeri buat ramai orang, namun saya bersyukur kerana Allah memandu hati daya untuk redha. Malah selalunya saya memandang kanser ini sebagai rahmat kerana banyak kasih sayang yang timbul dan terlihat dalam tempoh itu. Bohong kalau saya tidak menangis. Saya menangis semahunya dan berhenti sebelum hanyut dalam duka. Tidur sebentar dan bermula dengan semangat baru. Lihat sekeliling pada nikmat yang Allah beri bukan musibah yang satu. Jarang saya hanyut ke dalam duka melainkan letih menghadapi ujian ini, sebagaimana letihnya kita belajar saban hari. Namun kerana mahu berjaya, kita teruskan pelajaran. Begitulah, penat melalui hari-hari dengan ujian ini, tapi mahu berjaya..diteruskan juga. Kalau bukan untuk diri sendiri untuk amanah lain yang Allah titipkan.

Setiap artikel akan dibayar RM8