Uncategorized

EPISOD 3: PENANTIAN SATU PENYEKSAAN – KISAH PUAN ELIYANA

Gambar ehsan: http://www.npplweb.com/wjsmro/fulltext/3/6

Sambil menunggu keputusan lanjut histopatologi, saya ke Jabatan Perubatan Nuklear untuk prosedur skan tulang. Ketika dipanggil untuk disuntik cecair pengimbas radioaktif yang akan diserap oleh tulang, doktor kehairanan melihat saya “awak sangat muda, macamana boleh dapat?” dengan senyuman saya menjawab “Saya insan terpilih”.

Sebelum disuntik, ditanyakan tentang apa-apa ubat yang pernah diambil dan sebarang alahan yang saya hadapi. Amat penting untuk doktor mengetahui sebarang ubat dan alahan yang ada kerana ada ubat yang boleh berinteraksi dengan cecair yang bakal disuntik. Saya disuntik dengan cecair khas radioaktif yang dipanggil penjejak melalui salur darah di tangan. Tujuan suntikan cecair radioaktif ini adalah untuk mengesan sebarang rebakan kanser payudara pada tulang.

Cecair ini akan diserap banyak oleh sel yang mempunyai aktiviti yang tinggi. Kanser sel salah satu jenis sel yang banyak menjalankan aktiviti. Sekiranya sel kanser terdapat pada tulang, ia akan menyerap lebih cecair penjejak ini berbanding tulang yang tidak mempunyai sel kanser. Jadi, radiologis dapat membezakan kawasan yang disyaki kanser dengan yang tidak. Cecair radioaktif yang diserap oleh tulang ini akan membebaskan signal yang ditangkap oleh kamera. Cecair radioaktif ini mengambil masa 1 ke 4 jam untuk diserap oleh tulang. Jadi sepanjang tempoh itu, pesakit digalakkan untuk minum banyak air sekurang-kurangnya 1.5 liter bagi membuang penjejak yang tidak diserap tulang.

Sebelum masuk ke bilik kamera, saya disuruh menukar gaun khas yang disediakan kerana bimbang terdapat cecair radioaktif yang terpercik atas pakaian. Ini akan mengganggu interpretasi keputusan akhir skan tulang. Walaupun cecair yang dimasukkan amat sedikit, namun signalnya amat mudah dijejak oleh kamera gamma.

Setelah 4 jam menunggu di bilik isolasi, saya dipanggil masuk dan baring di atas pelantar dan disorong secara automatik ke atas dan ke bawah melintasi kamera gamma yang tersedia. Tidak ada rasa sakit ketika prosedur berlaku. Malah hampir sahaja saya tertidur kerana nyamannya pendingin hawa di bilik itu. Setelah beberapa ketika, saya disuruh menukar posisi mengiring. Proses ini tidak lama, bergantung kepada jenis mesin. Ada mesin yang memerlukan 1 jam dan ada yang memerlukan hanya 20 minit.

Setelah selesai diimbas, doktor menerangkan hasil imbasan kepada saya. Memang terdapat penemuan yang meragukan yang mungkin kanser. Beliau menerangkan skan tulang dapat mengesan 1% perubahan pada tulang. Berbanding X-ray yang dapat mengesan setelah 50% perubahan berlaku. Berdasarkan penemuan skan tulang, didapati tulang belakang bahagian bawah atau lumbar 4 agak meragukan. Beliau berharap perubahan tulang tersebut berlaku kerana gaya berjalan atau postur badan. Doktor tidak dapat membuat kesimpulan selagi skan CT tidak dijalankan kerana skan tulang perlu sokongan skan CT.

Saya menukar pakaian untuk pulang ke rumah. Walaupun terdapat cecair radioaktif di dalam badan, ia tidaklah merbahaya bagi orang sekeliling. Namun doktor masih menasihatkan agar menjauhi tempat awam, ibu mengandung dan anak kecil bagi mengelakkan sebarang kesan kepada mereka. Malah diingatkan, sekiranya perlu menaiki kapal terbang dalam tempoh terdekat, doktor boleh mengeluarkan surat menyatakan saya baru selesai skan tulang. Ini kerana, sesetengah lapangan terbang mempunyai kamera sensitif yang boleh menangkap signal penjejak. Kebiasaanya, signal ini akan habis setelah 24 ke 48 jam. Signalnya akan menurun setiap setengah jam.

Pulang ke rumah, bilik isolasi khas telah tersedia buat saya kerana anak saya masih kecil ketika itu. Berkali-kali anak saya mengetuk pintu dan menangis mahu memeluk saya. Anak lelaki saya ketika itu berumur 4 tahun manakala yang perempuan berumur 2 tahun. Keduanya petah bercakap. Luluh juga hati bila mendengar rayuan mereka mahu memeluk saya. Tapi itulah juga sebahagian tarbiyah Allah buat kami semua. Allah mahu menyiapkan mereka sebagai seorang yang kuat. Malam tersebut saya tidur tanpa memeluk anak-anak.

Secara amnya, bahan radioaktif tersebut akan luput selepas 24 jam. Justeru itu saya dinasihatkan untuk terus berkuarantin sehingga tempoh 24 jam. Pakaian dan bekas makanan yang digunakan pada tempoh tersebut turut dinasihatkan untuk dibasuh asing. Bagi memudahkan, saya cadangkan agar suami memberi makanan dalam minuman dalam bekas pakai buang.

Mungkin inilah yang sering disalah anggap oleh orang ramai bahawa pesakit kanser dalam rawatan tidak boleh menyentuh orang lain dan pakaian mereka perlu diasing. Sedangkan tidak menjadi kesalahan untuk pesakit kanser bersosial seperti biasa. Cuma terdapat beberapa rawatan yang memang perlu dikuarantin seketika seperti skan tulang dan rawatan radioiodin bagi kelenjar tiroid.

Penantian untuk bertemu anak selama 24 jam itu terasa panjang buat saya. Belum lagi penantian keputusan lain. Sepanjang masa penantian, bermacam-macam bermain dalam ingatan.

Pada saya, walaupun telah redha dengan keadaan penyakit, penantian segala keputusan ujian tetap menghambat perhatian. Kepala tidak berhenti memikir tentang keputusan dan apa yang perlu dibuat sekiranya keputusan tidak baik. Penat juga melawan perasaan negatif dan mengharap keputusan baik. Seperti berperang otak kiri dan kanan ibarat yang satu berfikir negatif dan yang satu lagi berfikir positif.

Itu baru satu penantian yang mana kita masih boleh mengharap pada Allah. Boleh solat dan merayu. Boleh beramal dan membuat kebajikan untuk meraih rahmat Allah. Bagaimana penantian di padang mahsyar yang segala amal telah mula dihitung dan tiada patah balik?

Selagi ada masa, raihlah cinta Pencipta.

Setiap artikel akan dibayar RM8