Uncategorized

EPISOD 5 – PEMBEDAHAN PERTAMA – KISAH PUAN ELIYANA

Setelah 2 minggu skan tulang dan skan CT, saya dan suami ke klinik onkologi bagi berbincang tentang keputusan skan. Kami berbincang tentang rawatan yang akan dihadapi. Bukan lagi lumpectomy, yang pasti Mastectomy. Pakar bedah juga ada bersama ketika itu. Pembedahan mesti dilakukan agar ibu kanser itu dapat dibuang. Apabila ibu kanser dibuang, kesannya tidak terlalu teruk.

“Eli, kita kena buat mastectomy. Alhamdulillah tiada rebakan pada kulit payudara. Kita buanglah sebelah ya?” Tanya doktor bedah. Matanya nampak berkaca.

“Kenapa buang sebelah? Buang dua-dua sekalilah. Dah tahap 4 kan? Nanti kalau sebelah sahaja, lenguh leher, sakit belakang.” Panjang lebar pula kata saya. Saya benar-benar tidak ambil kisah pada apa yang akan jadi terhadap fizikal saya. Pada saya, saya mahu segera buang tapak kanser itu. kanser payudara memerlukan payudara untuk membiak. Saya tidak mahu memikirkan kebarangkalian kanser berulang sekiranya saya masih mempunyai payudara. Pada saya mudah, buang payudara, tiada payudara. Bukan mahu menjadi seperti Angelina Jolie. Namun itulah hakikat yang saya rasa. Menerpis ketakutan dan kebimbangan. Kalau Angelina Jolie yang belum mendapat kanser payudara membuang kedua payudara kerana takut mendapat kanser setelah positif ujian saringan penanda kanser, saya takut kanser akan berulang.

“Eh, Kamu muda lagi! Janganlah sampai macam tu. Kita ada banyak opsyen. Kita buat rekonstruktif sekali.” Pujuk Dr bedah.

“Dah tahap 4, tak payahlah cantik-cantik lagi.” Balas saya. Saya benar-benar fikir mudah. Pada saya hidup saya mungkin berbaki kurang 5 tahun. Jadi saya tak mahu menanggung sakitnya pembedahan plastik.

“Mana kita tahu. Mungkin umur panjang. Ada pesakit saya tu, lebih daripada 5 tahun dah. Dia lagi berat. Fikir suami. Tak susah pun, kita buat sekali sahaja. Setengah hari dah siap bedah. Kita buang dulu yang kat dada, nanti kita tampung dengan otot perut.” Terang Dr. Bedah. Dia benar-benar mahu membantu saya. Dia juga tidak mahu saya merasa rendah diri atau tidak sempurna di hadapan suami. Keadaan akan jadi lebih buruk kalau saya kemurungan atau tertekan.

Prosedur yang dicadangkan pada saya adalah TRAM flap reconstruction. Prosedur ini memerlukan pakar bedah dan pakar pembedahan plastik. Awalnya akan dimulakan oleh pakar bedah untuk membuang tisu payudara. Kulit payudara tidak akan dibuang. Malah kesan pisau itu tidak dapat dilihat kerana terlindung di bahagian bawah.

Setelah itu, pakar pembedahan plastik akan masuk menggantikan pakar bedah. Potongan akan di buat sepanjang garisan bikini. Iaitu melintang dari pinggang kanan ke kiri. Lemak, salur darah dan otot perut akan diambil dan ditolak ke bahagian payudara melalui bawah kulit. Salur darah yang halus akan disambungkan agar tisu-tisu itu masih mendapat bekalan seperti tisu lain. Oleh kerana bahagian pusat turut diambil, pusat palsu akan dibuat.

Sepanjang tempoh menunggu pembedahan, sedikit-sedikit saya merasa sakit. Tapi saya bersyukur mampu bertahan.

Dari mana datangnya kekuatan? Benar, saya memang redha dengan segala ketentuan pada ketika itu. Saya yakin apa yang Allah beri sentiasa yang terbaik. Saya yakin Allah maha mengetahui. Saya yakin Allah mahu memberikan sesuatu yang lebih besar selepas ini dan yang besar itu pastinya syurga. Gilalah saya sekiranya saya memilih untuk sembuh dan selesa di dunia sedangkan Rasulullah pernah menitipkan kisah seorang wanita penghuni syurga kepada Saidina Abas.

Pada suatu hari, ketika Atha’ b. Abi Rabah sedang mengiringi Ibnu Abbas r.a., mereka ternampak seorang wanita berkulit hitam di sisi Kaabah. Lantas Ibnu Abbas berkata kepada Atha’: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibnu Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh”. Nabi saw bersabda: “Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.” Lalu wanita itu berkata: “Aku (pilih untuk) bersabar”. Wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah.” Maka Nabi berdoa untuknya.” Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab shahihnya, juz 17, hlm. 389, hadis no. 5220.

Apa lagi yang mampu menandingi syurga? Inilah motivasi dan kekuatan saya. Setiap kali orang bertanya keadaan saya, saya akan jawab “saya OK, Allah nak bagi saya syurga, gila taknak?”

Teringat pada ipad yang dibeli online beberapa ketika sebelum itu. Tanpa ada kaitan, saya memilih untuk mengukir di belakang ipad “carilah pertolongan dengan jalan sabar dan solat” potongan ayat al-quran dalam surah Albaqarah. Ternyata sebelum sakit, saya telah disiapkan oleh Allah.

Allah tahu dan Allah telah menyediakan kita untuk ujian yang bakal kita lalui. Putar kembali masa ke belakang, lihat bagaimana Allah menyusun takdir kita dan mempersiapkan diri kita untuk segala ujian yang bakal ditempuh.

Hari pembedahan makin tiba. Namun pembedahan tak dapat berlangsung pada tarikh yang ditetapkan. Saya akan kongsi di tulisan lain memandangkan tulisan ini agak panjang.

Setiap artikel akan dibayar RM8