Kanser

Episod 5b: Pembedahan tertunda – Kisah Puan Eliyana

Hari pembedahan makin tiba. Saya tidak berdebar malah hairan kenapa hati saya tidak berdegup kencang dan merasakan diri tidak akan dibedah. Saya dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Suasana di Kuala Krai amat nyaman. Sejuknya seperti di Cameron Highland. Malah rasa sejuk itu terasa sehingga di Kota Bharu. Hujan berterusan selama 2 hari sehingga Hari Krismas. Tidak disangka hujan berterusan itu telah menenggelamkan Gua Musang dan Kuala Krai yang baru saya lalui minggu sudah.

Laporan akhbar menyatakan keadaan di Kuala Krai dan Gua Musang terkawal. Saya lega. Namun apabila memeriksa mesej di telefon pintar, saya jadi keliru. Memang itulah konflik yang sering berlaku apabila berita tersebar. Tidak tahu yang mana benar yang mana rekaan. Namun saya mempunyai kumpulan bualan yang boleh dipercayai. Hanya berita dari kumpulan itu sahaja yang saya terima pakai. Sungguh keadaan di Kuala Krai dan Gua Musang amat genting. Bekalan makanan habis dan perhubungan terputus. Bantuan tidak dapat disampaikan kerana jalan ditenggelami air. Saya dapat bayangkan, jalan di Kuala Krai adalah berbukit-bukit, kalau menoleh ke kiri dan kanan, dapat dilihat lembah sedalam lebih 3 tingkat bangunan. Kalau jalan pun tenggelam, maknanya air bukan sikit-sikit. Paras air melebihi bangunan 3 tingkat!

Dalam kegawatan banjir yang berlaku di luar daerah Kota Bharu itu, saya mula tidak dapat berjalan. Belakang pinggang terasa sakit dan tidak dapat menampung berat badan. Keperluan banjir perlu dibeli segera kerana bimbang kehabisan. Anak saya ternampak ibunya yang sukar bergerak. Ditawarkan bahunya sebagai tongkat ibunya. Saya menopang di bahu anak yang baru 5 tahun itu untuk bergerak.

“Ya Allah, jangan kau kekalkan keadaan aku begini. Aku tidak mahu menjadi beban kepada orang lain.” Doa saya berharap dalam hati. Sudah mula bongkok saya bimbang akan terlantar baring di katil.

“Ya Allah, jangan kau timpakan kami dengan banjir. Permudahkan urusan kami.” saya yakin doa saya diterima Allah kerana doa dalam keadaan sakit amat dekat dengan Allah. Saya tidak bersangka-sangka buruk dengan Allah kerana saya tahu Allah menuruti sangkaan hambaNya.

Walaupun sakit, persediaan banjir perlu difikir. Saya menggesa suami ke pasaraya untuk membeli lilin, plastik hitam besar untuk membungkus pakaian dan makanan. Setelah 2 jam ke pasaraya yang tak sampai 5km, suami pulang hanya dengan sekotak lilin dan plastik hitam. Tiada makanan. Sungguh, Kota Bharu telah kacau-bilau. Rakyatnya habis panik.

Setiap sejam saya dapat melihat dan mendengar bunyi helikopter yang melintasi atap rumah. Helikopter itu digunakan untuk menghantar pesakit ke HUSM yang berhampiran rumah. Oleh itu saya membuat tanggapan, ini bukan musibah yang biasa-biasa. Saya menelefon Dr. Bedah untuk mengesahkan pembedahan.

“Eli, saya tak dapat nak jawablah. Saya rasa kemungkinan besar pembedahan awak terpaksa ditunda. Bilik pembedahan penuh. Kita dapat ramai pesakit dari Kuala Krai dan Gua Musang. Mereka dalam keadaan yang amat kritikal.

Mendengar berita itu hati saya jatuh sedih pada keadaan doktor. Saya tanya keadaanya. “Saya pun tak dapat balik rumah lagi dari semalam. Apa khabar anak-anak saya pun saya tak tahu. Jalan tutup.”

Dapat dirasakan kegelisahan Dr. bedah. Dia dan suaminya bertugas sehari sebelum banjir. Anaknya ditinggalkan di rumah ibu bapanya dan kawasan itu turut dilanda banjir. Talian telefon terputus begitu juga tenaga elektrik. Bayangkan dalam memikirkan keadaan anak-anaknya, mereka suami isteri tidak berhenti rehat lagi kerana kekurangan doktor dan sebilangan doktor tidak dapat ke hospital kerana jalan teruk terkesan dengan banjir. Pesakit pula bertambah. Hospital Kota Bharu turut dilanda banjir. Hanya HUSM yang ada bagi menampung semua pesakit. Suasana memang tidak pernah dibayangkan. Doktor ada yang bekerja 3 hari tanpa menukar pakaian. Pekerja ada yang tinggal di pejabat kerana tidak dapat pulang. Malah keluarga pesakit juga tidak dapat datang menemani pesakit.

Saya menangis, simpati pada Dr. bedah. Sekurang-kurangnya semua ahli keluarga saya ada bersama. Dapat dirasakan pembedahan tidak akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan. Saya buntu.

Saya mengajak suami ke Pulau Melaka untuk bertemu Tuan Guru Nik Aziz. Tuan Guru juga adalah pesakit kanser. Saya sering melihat Tuan guru mendapatkan rawatan di klinik onkologi. Walaupun sakit, Tuan Guru masih bekerja sebagai menteri besar ketika itu. Dia datang mendapatkan rawatan pada waktu rehat tengah hari. Saya ingin sangat berjumpa dengan Tuan Guru untuk mendapat motivasi.

Saya membonceng motor suami dalam hujan rintik. Jalan yang tidak sekata mula dilimpahi air. Pulau Melaka berdekatan dengan sungai. Paras air sungai hampir naik. Dalam masa yang sama Tuan Guru dihantar ke HUSM kerana sakit. Saya tidak dapat bertemu dengannya. Walaupun HUSM dekat dengan saya, dan insyaAllah Tuan Guru akan melayani pelawat, saya tidak sampai hati untuk mengganggu Tuan Guru yang sedang sakit. Kami pulang semula ke rumah.
*****************
Ayah menelefon dari jauh, bertanyakan khabar pembedahan yang masih belum dijalankan. Terdengar suaranya sayu dan penuh pengharapan agar pembedahan dijalankan segera. Terbit dari bibirnya untuk menjualkan rumahnya, satu-satunya harta yang dia ada agar saya boleh menjalani pembedahan. Saya terharu. Saya cuba fahamkan padanya, wang bukan masalah kerana saya ada insurans dan guarantee letter. Namun Kelantan sedang banjir. Lapangan terbang pun belum tentu boleh beroperasi.

Saya pula tidak tergamak untuk menanyakan hal pembedahan saya pada Dr bedah lagi. Namun dalam keadaan itu, ada beberapa pelan pembedahan disusun. Cadangan pertamanya adalah menunggu keadaan pulih dalam jangka masa seminggu. Beliau cuba untuk mendapatkan tarikh dalam jangka masa terdekat ataupun cadangan kedua melakukan pada hujung minggu melalui perkhidmatan hospital swasta.

Untuk cadangan kedua, saya agak keberatan kerana sangkaan saya, saya perlu membelanjakan sejumlah besar wang. Jadi saya abaikan cadangan kedua dan mengharap pada cadangan pertama. Dalam masa yang sama saya menghubungi Onkologis untuk bertanyakan keadaan saya. Sakitnya bertambah di bahagian pinggang. Kami mencapai persetujuan untuk memulakan rawatan kemoterapi dahulu dan rawatan tulang belakang dimulakan.

Bermula dari itu, setiap bulan saya perlu hadir sekali ke klinik untuk mendapat suntikan ubat tulang belakang yang dinamakan Zometa. Ubat ini tidak mempunyai kesan sampingan seperti kemoterapi. Ia dimasukkan melalui canulla dan dialirkan ke badan hampir 1 jam.

Ternyata setelah disemak dengan agen insurans, jumlah yang perlu saya bayar untuk pembedahan tidaklah terlalu besar seperti jangkaan saya. Saya juga mengetahui kelebihan lain yang boleh dituntut melalui insurans. Dengan kemudahan itu saya bertukar daripada Zometa kepada Xgeva. Fungsi yang sama untuk merawat kerapuhan tulang. Bezanya pada aplikasi kerana Xgeva hanya perlu disuntik dan saya tidak perlu lama di klinik.

Seminggu selepasnya kemoterapi bermula. Pada waktu yang sama, saya mendapat panggilan daripada pakar bedah. Beliau menyampaikan khabar gembira yang terdapat slot kosong untuk pembedahan dalam masa terdekat. Saya berlari mendapatkan Onkologis sebelum memulakan kemoterapi. Menimbang antara meneruskan kemoterapi atau melakukan pembedahan. Setelah berbincang, saya akur untuk meneruskan kemoterapi.

Sekiranya saya memilih untuk melakukan pembedahan, saya perlu pulih daripada luka pembedahan untuk memulakan kemoterapi. Dan ini mengambil masa 1 ke 2 bulan. Sakit belakang saya masih terasa. Kalau lambat mula kemoterapi, bertambah sakit belakang.

Jadi pelan pembedahan berubah kepada 3 kali kemoterapi, pembedahan dan 3 kali kemoterapi semula. Saya rasa inilah jalan terbaik. Satu jalan keluar yang Allah berikan.

3 kali pertama kemoterapi secara tidak langsung mengawal sakit belakang, rebakan kanser payudara dan mengecutkan sel kanser. Kemudian apabila pembedahan, clear margin lebih besar. Berbanding pembedahan sebelum kemoterapi, banyak kawasan perlu dibuang. InsyaAllah dengan pelan ini sel kanser akan ditangani. Saya gembira dengan takdir ini. Sakit belakang pun berkurang setelah kemoterapi pertama. Saya sudah mula berdiri tegak dan mampu berjalan laju. Sinar harapan menyala semula. Sangat bersyukur yang saya tidak terlantar di katil.

Setiap artikel akan dibayar RM8