Uncategorized

EPISOD 6: DI SEBALIK KEMOTERAPI – KISAH PUAN ELIYANA

*Penulisan kali ini agak teknikal bagi memberi kefahaman asas tentang kemoterapi sebelum saya kongsikan pengalaman saya menghadapi dan mengatasi kemoterapi. Melalui penulisan ini saya belajar satu perkara..kemoterapi ini kompleks. Tindakan ubatnya juga pelbagai. Pemilihan ubat pula bergantung kepada jenis kanser dan keadaan pesakit. Lebih banyak saya baca tentang kajian kemoterapi, lebih banyak yang saya tak tahu. Betapa luasnya ilmu Allah dan ruang yang Allah beri untuk kita belajar. Begitu juga ilham dan ilmu yang Allah izinkn kita tahu sehingga membuka sedikit peluang buat pesakit kanser seperti saya. Subhanallah. Saya sering kongsikan hasil dapatan terkini dalam bidang kanser (artikel dari jurnal impak tinggi) dengan doktor yang merawat. Tersentuh hati saya apabila doktor kata “saya sentiasa akan pilih yang terbaik buat pesakit”.

Saya juga perasan, selagi tiada syak wasangka dan prasangka buruk pada para perawat, urusan rawatan saya dimudahkan dengan izin Allah. Kerana kita semua sering berdoa dengan tujuan yang sama iaituu Allah berikan yang terbaik. Dalam doa saya, saya sedar saya bukan pakar bidang, jadi saya minta Allah pimpin saya dalam membuat keputusan pada apa yang Allah redha.

*********

Masuk tahun baru, suasana banjir sudah terkawal. Saya telah diberikan rawatan tulang sebelumnya. Cecair ubat Zometa dimasukkan ke dalam tubuh melalui salur darah tangan. Selama sejam saya di klinik harian onkologi untuk menghabiskan ubat yang disalurkan itu.

Sel kanser saya telah merebak ke tulang. Sel kanser ini menjadikan sel tulang sentiasa diperbaharui sehingga jumlah sel tulang yang mati lebih banyak daripada sel yang hidup. Oleh itu, tulang menjadi rapuh. Ubat yang diambil itu akan menghalang aktiviti ini agar kekuatan tulang terpelihara. Ketika ubat ini dimasukkan, tiada apa kesan sampingan yang dialami.

Keesokannya saya datang untuk rawatan kemoterapi. Seawal jam 8 pagi saya telah ke klinik untuk ujian darah. Sekiranya parameter darah elok, saya boleh meneruskan kemoterapi. Jam 11 pagi keputusan darah selesai.

“Makcik, hari ini tak lulus lagi darah makcik. Jadi tak boleh kemo.” Beritahu jururawat bertugas kepada seorang pesakit kanser payudara yang berumur hujung 60an.

Ada pesakit tidak dapat meneruskan kemoterapi kerana jumlah sel darahnya yang rendah. Oleh itu pesakit dinasihatkan agar tidak berpantang atau memilih makanan. Makanan perlu seimbang agar nutrisi dapat dibekalkan kepada tubuh untuk membina darah.

Sementara ubat kemoterapi disiapkan, saya dimasukkan air melalui canulla di tangan yang tersedia sejak ujian darah pagi tadi. Setelah itu, ubat tahan muntah, tahan gatal, tahan gastrik dan pening dimasukkan. Saya turut mengambil ubat tahan muntah yang dibeli berasingan melalui insurans. Saya bertuah. Urusan dipermudahkan. Selaku kakitangan kerajaan kami layak untuk memohon perubatan lain (non-standard medication) dibawah kelulusan pegawai tertinggi. Saya mempunyai 3 pilihan, melalui majikan suami, majikan saya ataupun insurans. Memandangkan urusan mendapatkan kelulusan majikan memakan masa yang panjang, saya gunakan insurans. Hal ini diurus baik oleh kaunselor onkologi.

Lebih kurang sejam, ubat kemoterapi mula dimasukkan ke dalam salur darah melalui tangan itu. Dari botol yang tergantung itu, dapat dilihat ubat tersebut perlahan-lahan menitis masuk ke dalam tiub. Tidak selaju titisan air yang sebelumnya. Ini bertujuan untuk memastikan tiada sebarang kesan pada pesakit. Ada pesakit yang jantungnya berdegup kencang apabila ubat dimasukkan. Jadi jururawat akan bermula dengan titisan perlahan sebelum titisan normal.

Setelah sejam, ubat kemoterapi pertama habis. Saya berhenti solat dan makan tengah hari. Kemudian ubat kedua dan ketiga disambung sehingga 2 jam lagi, diakhiri dengan air. Jam 5 petang saya pulang ke rumah. Rejim kemoterapi buat saya adalah TAC. Ubat yang terdiri daripada Taxotere, Adriamycin dan Cyclophosphomide. Lain pesakit, lain rawatannya.

Kombinasi rawatan yang terdiri daripada 1 atau 2 atau 3 ubat ini ditentukan oleh doktor berpandukan karakter sel kanser seperti tahap kanser, status hormon dan reseptor, serta keadaan kelenjar di leher dan ketiak. Selain itu, status haid dan kesihatan umum pesakit turut diambil kira. Pesakit dengan masalah jantung dan darah tinggi mempunyai kombinasi ubat yang berbeza. Begitu juga pesakit kanser yang lain. Oleh itu, pesakit perlu mendapat nasihat daripada doktor onkologi untuk sebarang masalah yang dihadapinya.

Kemoterapi adalah rawatan untuk mencegah sel kanser daripada merebak atau menghentikannya daripada membahagi. Oleh kerana sel kanser cepat membiak, ia boleh membahagi sehingga keluar daripada tempat asalnya menyebabkan ia masuk ke dalam sistem badan. Kemoterapi diformulasikan untuk melawan sel yang cepat membiak. Oleh kerana, rambut, kuku dan bulu roma adalah antara sel yang cepat tumbuh, ia turut akan terkesan dengan ubat kemoterapi. Kerana itulah pesakit kanser yang menjalani kemoterapi akan keguguran rambut dan bulu lain.

Pada kanser tahap awal, kemoterapi digunakan untuk menghapuskan sel kanser yang tersisa dalam tubuh setelah tapak asal atau ibu kanser dibuang melalui pembedahan. Oleh kerana ibu kanser telah dibuang, sel-sel kanser yang berada di kawasan lain tidak sekuat asal. Pada kanser tahap tinggi, kemoterapi digunakan untuk menghapus sebanyak mungkin sel kanser.

Kemoterapi adjuvan adalah kemoterapi yang diberikan sebagai tambahan kepada pembedahan. Selalunya ia diberikan kepada pesakit tahap awal selepas pembedahan. Manakala kemoterapi neoadjuvan diberikan sebelum pembedahan untuk tujuan mengecutkan sel kanser supaya lebih mudah dibuang ketika pembedahan. Kombinasi ubat kemoterapi disebut sebagai rejim. Pada kanser tahap awal, rejim ini mengurangkan risiko kanser datang semula pada pesakit. Pada kanser tahap tinggi, rejim ini berperanan untuk menghilangkan atau mengecutkan sel kanser dalam 30 ke 60 peratus orang pesakit. Namun kesan kemoterapi ini berbeza mengikut individu.

Taxotere atau docetaxel akan mengganggu aktiviti sel kanser. Ubat ini diberikan kepada pesakit yang mempunyai sel kanser yang telah merebak ke kawasan lain atau ke kelenjar lain seperti di bawah ketiak dan leher. Kesan sampingannya adalah sama seperti Adriamycin, namun ditambah lagi dengan sembelit, sakit urat, mata berair dan sakit tulang. Pesakit juga mungkin mengalami haid tidak normal atau terhenti sehingga rawatan berakhir.

Adriamycin adalah jenis ubat yang digunakan untuk memusnahkan gen sel kanser dan mengganggu aktiviti sel kanser agar pembiakannya terbantut. Ubat ini memberi kesan seperti penurunan sel darah putih, pendarahan, perubahan selera, perubahan kuku, keguguran rambut, muntah, ulser mulut, masalah jantung dan sindrom seperti penyakit kuku dan mulut. Namun tidak semua pesakit mempunyai kesemua kesan ini. Setelah mengambil ubat ini juga, air kencing bertukar merah. Oleh itu air diminum sebanyak mungkin untuk cepat menghabiskan sisa ubat tersebut. Ubat itu bersifat toksik, jadi penyingkiran yang cepat dengan minum air dapat menghilangkan mual dan loya dengan cepat juga. Saya sangat lega kalau air kencing bertukar jernih.

Cyclophosphamide atau cytoxan digunakan sebagai agen alkil yang merosakkan bahan genetik sel kanser. Kesan sampingannya kurang sedikit daripada taxotere dan adriamycin.

Kemoterapi pertama tidak memberi apa-apa kesan sampingan kepada saya. Esoknya saya perlu ke klinik rawatan harian onkologi untuk mendapatkan suntikan baja darah. Terdapat 2 jenis ubat iaitu Neupogen dan Peglasta. Bezanya neupogen perlu disuntik setiap hari ke dalam salur darah. Manakala Peglasta hanya dicucuk sekali ke dalam otot. Saya menggunakan insurans untuk membeli ubat peglasta. Apabila disuntik ubat ini, sakit tulang tak tertahan kadangnya. Terasa tulang seperti dicengkam.

Suntikan baja darah amat penting kerana selepas kemoterapi, sel darah putih akan turut mati. Oleh itu, baja ini perlu disuntik untuk menggalakkan penghasilan sel darah putih. Kemoterapi bukan sahaja menyerang sel kanser, tetapi turut menyerang sel normal. Bezanya, sel normal mempunyai keupayaan untuk membahagi semula. Manakala sel kanser akan terbantut atau terencat pembahagiannya. Oleh kerana itulah kemoterapi perlu diberikan berperingkat dan pada sela masa tertentu untuk memberi ruang kepada sel normal diganti. Oleh kerana itu jugalah pesakit mengalami kesan sampingan seperti gastrik dan lain-lain. Kesan sampingan ini juga boleh menjadi petanda yang ubat kemoterapi sedang bertindak.

Oleh kerana kemoterapi tidak dapat membezakan sel normal dan sel kanser, sel darah putih yang menjadi askar dalam badan kita untuk melawan penyakit turut terbunuh. Kerana itulah amat penting bagi pesakit untuk mengambil baja selepas kemoterapi dan mengelak berada di tempat orang ramai sekurang-kurangnya seminggu agar badan tidak terdedah dengan sumber penyakit kerana pada waktu itu, sistem pertahanan badan sangat rendah. Begitu juga pesakit perlu menghindari ulam-ulaman, makanan mentah lain juga produk makanan yang mengandungi bakteria baik kerana bimbang mendapat jangkitan kuman. Doktor turut memberikan antibiotik kepada pesakit sebagai langkah berhati-hati.

Sistem pertahanan badan seperti antibodi terbina daripada protein. Diet yang baik harus dititik berat agar dapat keluar daripada kesan sampingan dengan segera. Pada ketika ini, saya banyak mengambil sumber protein seperti telur dan ikan untuk menggantikan sel-sel yang telah mati. Kesannya amat ketara apabila dibandingkan dengan pesakit yang memilih makan atau berpantang dengan yang mengamalkan diet sihat.

Amat penting bagi pesakit untuk tidak berpantang atau mengehadkan makanan. Kerana badan amat memerlukan nutrisi dalam pembinaan semula sel yang telah mati. selain itu, pesakit perlu menyediakan badan untuk kemoterapi seterusnya. Kegagalan dalam ujian darah menyebabkan pesakit tidak dapat menjalankan kemoterapi pada waktunya. Kalau banyak makan, lebih cepat hilang kesan sampingannya insyaAllah.

Setiap artikel akan dibayar RM8