Uncategorized

Episod 8: Pembedahan bermula – Kisah Puan Eli

Selepas 3 kali kemoterapi, saya disiapkan untuk menjalani pembedahan. Sebelum ini pakar bedah plastik telah mengambil ukuran badan saya ketika banjir. Selepas kemoterapi pastinya ukuran diambil semula. Proses ukur badan dibuat dengan mudah. Bahagian yang akan dipotong ditanda Marker pen. Penerangan tentang pembedahan juga diberikan. Tidak sama seperti yang diceritakan oleh rakan yang mengalami pembedahan yang sama. Maksudnya prosedur yang rakan saya lalui lebih kompleks. Prosedur saya agak mudah.

Perasaan saya bercampur baur, mudahnya Allah uruskan urusan ini. Saya bertanyakan doktor, kenapa proses yang saya lalui amat mudah? Doktor menceritakan rasional pilihan yang dibuat.

Pembedahan yang dijalankan adalah mastektomi dan flap TRAM reconstruction (boleh rujuk tulisan saya sebelum ini). Melihat kepada hasil pembedahan, saya berpuas hati dan membayangkan pembedahan ini terlalu mudah. Namun kerumitannya hanya diketahui oleh para doktor. Dalam kes ini, torehan dibuat di sisi payudara untuk mengeluarkan ketulan. Kulit asal masih seperti biasa, hanya isi di dalam yang diganti dengan otot bahagian abdomen. Bermakna kulit di bahagian pinggang juga dibuka sepanjang dari kiri ke kanan. Otot perut saya dipindah ke bahagian payudara yang dibuang melalui bawah kulit. Subhanallah.

Masih teringat perbualan saya dengan pakar bedah. Pakar bedah mencadangkan saya membuat pembedahan rekonstruktif bagi menggantikan payudara yang akan dibuang. Saya membayangkan kesan jahitan disekeliling payudara. Allah..sungguh hodoh. Saya lantas mencadangkan kepada doktor untuk membuang kedua-dua payudara saya dan tidak perlu lakukan rekonstruktif. Pada saya, saya tidak mahu prosedur yang rumit dan ini tidak berbaloi untuk pesakit tahap empat seperti saya. Pakar bedah memujuk untuk melakukan rekonstruktif. Katanya, saya masih muda. Saya katakan, saya tak mahu fikir tentang keberangkalian kanser di payudara sebelah lagi, jadi baik dibuang keduanya supaya kanser tidak ada tapak untuk hidup. Beliau ketawa. Akhirnya saya bersetuju dengan rasional beliau.

Sehari sebelum pembedahan, terasa sedih tidur di wad tanpa anak-anak. Doktor bius datang memberitahu prosedur bius kepada saya. Fikiran saya melayang tapi menangkap satu ayat “Lepas ni, kami suntik ubat bius, awak akan tak bernyawa sekejap.” Saya tergamam. Apa maksudnya? Bahasa Melayu standard atau bahasa Kelantan? Mati atau tidak bernafas? Saya minta penjelasan bagaimana saya bernafas? Doktor mengatakan, melalui mesin.

Malam itu saya mula merepek. Mengarang wasiat untuk setiap ahli keluarga. Untuk suami, anak-anak, ibu bapa, adik-adik malah bakal isteri dan ibu tiri anak saya! Terlintas untuk menghubungi rakan lain. Sekali lagi, subhanallah saya tidak menyangka yang rakan saya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang bius. Saya bertanyakan padanya tentang prosedur yang bakal saya lalui. Beliau ketawa dengan kerisauan saya. Itulah masalahnya bila tidak mahir menggunakan Bahasa Melayu dalam penerangan. Banyak istilah tidak dapat diterjemah dengan tepat membuatkan pesakit takut.

Keesokannya saya ditolak ke dewan bedah. Saya terlihat pakar bedah mencari-cari pesakit. Rupanya beliau mencari saya sebelum pembedahan bermula. Memberi kata semangat. Saya bahagia. Tidak pernah saya mengalami pembedahan, inilah kali pertama. Setelah masuk ke dewan bedah. Doktor menyuruh saya mengucap 2 kalimah syahadah. Menitis air mata pada ketika itu, corong udara diserkup ke hidung dan saya tertidur.

PASCA PEMBEDAHAN

Selesai pembedahan hampir jam 4 petang. Dalam bilik pasca pembedahan, rakan saya yang merupakan bakal pakar bius berada di sisi saya. Memegang erat tangan saya dan menutup badan saya dengan selimut. Sebenarnya, saya kepanasan. Saya singkapkan selimut tersebut. Dia menarik kembali. Sudahnya saya mendengus. Bukan sengaja, tetapi kerana terlalu letih sehingga tidak dapat bercakap! Rakan saya menemani saya sehingga saya ditolak ke wad.

Di wad saya masih separuh sedar. Namun saya menyedari ramai rakan sedang menunggu untuk menziarahi saya. Terdengar perbualan mereka, rupanya saya di bawah pengaruh Morfin. Begini rasanya bawah pengaruh dadah. Kita nampak, kita dengar tetapi tidak ambil pusing.apa yang ada di otak tidak sama dengan apa yang nak di sampai melalui mulut. Kalau kita merasa Allah meninggalkan kita, sebenarnya kita amat salah. Kerana rahmat Allah lah ada orang menziarahi kita.

Suami perlu meninggalkan saya untuk solat jumaat. Saya masih perlu diurus kerana suasana di wad agak panas. Aurat saya cenderung tersingkap. Alhamdulillah seorang rakan datang menggantikan suami ketika beliau ke solat Jumaat. Dapat saya rasa beliau menuam kain basah ke badan kerana saya kepanasan. Saya terharu. Inilah nikmat persahabatan.

Hari kedua di wad, saya sudah mula sedar. Dan dos morfin telah dikurangkan. Saya tidak merasa sebarang sakit. Namun melihat kepada suction tube dan botol vakum yang tiga, saya mula sakit. 1 di payudara, 2 lagi di kiri kanan pinggang. Tujuan tiub dipasangkan adalah untuk menyedut takungan darah yang ada di bawah kulit. Sekiranya volume darah yang disedut ke dalam tabung vakum berubah, saya boleh keluar dari wad.

Pembedahan ini tidak menyakitkan. Namun untuk bergerak agak terhad kerana tiub vakum yang masih melekat. Saya takut ke bilik air kerana bimbang jangkitan kuman pada luka. Solat juga dalam keadaan duduk. Tidak terasa sakitnya kerana melihat pesakit lain di sekeliling lebih parah dan saya yang paling muda.

Banyak buah tangan yang dibawa pelawat. Paling saya suka buah kiwi. Telan sahaja buah kiwi tersebut, saya gatal tekak. Hendak batuk melegakan gatal tekak, saya tak boleh kerana perut masih lemah selepas di bedah. Hendak bercakap juga tak boleh kerana tekak yang gatal. MasyaAllah, hanya 1 otot yang dipindah, masih berbaki 5 otot perut, namun sudah cukup membuatkan kita tidak berdaya untuk batuk. Alhamdulillah ada peneman pesakit katil sebelah. Beliau menghulurkan air pada saya.

Masih tidak mengambil iktibar, keesokannya saya makan lagi sebiji buah kiwi. Perkara yang sama berlaku. Kali ini saya yakin, memang punca gatal tekak adalah daripada biji buah kiwi itu. Saya lihat sekeliling. Kali ini tidak ada peneman. Siapa yang nak tolong hulurkan air? Alhamdulillah, Allah maha Mendengar, pesakit di katil sebelah terjaga dari tidurnya. Saya berikan isyarat air dan beliau hulurkan.

Kita tahu Allah Maha Hebat tapi mungkin tak rasa. Begitulah saya.. Merasa benar hebatnya Allah mencipta badan manusia.. Sehinggalah saya sendiri melalui proses pembedahan. Subhanallah. Hanya sedikit yang hilang, tapi kesannya besar dalam kehidupan kita.

Kalau orang kagum dengan telinga atau pokok atau awan berbentuk kalimah Allah, saya merasa benar dalam penciptaan manusia Allah memang Maha Hebat. Al Khaliq.

Tak perlu merenung jauh mencari kekuasaan Allah. Lihatlah pada diri sendiri.

Kongsi konfesi anda di link ini
https://rootofscience.com/rosconfession/pengakuan/

Bersama-sama kita doakan agar Allah berkati hidup penulis dan keluarganya.

Anda boleh terus memberi sokongan kepada Puan Eliyana dalam mengharungi ujian ini di sini

#RoSConfession
#RoScurhat
#jomkongsikisahanda
#jiwaseoranghamba

Setiap artikel akan dibayar RM8