Kanser

EPISODE 4: SKAN CT, Lautan kasih dari Pencipta – Kisah PUAN ELIYANA

Dalam minggu yang sama, saya perlu melalui ujian skan CT untuk menenalpasti rebakan kanser. Kalau skan tulang yang dilalui baru-baru ini mengesan rebakan pada tulang, skan CT adalah gabungan beberapa keping imej x-ray yang memberikan imej 2D keratan rentas setiap organ dalaman, salur darah, tisu lembut dan lain lagi. Tujuan skan CT yang saya lalui ini adalah untuk mengetahui tahap kanser dan sekiranya sel kanser tidak mengenai bahagian kulit payudara, kulit tersebut tidak perlu dibuang ketika pembedahan nanti.

Di bahagian kulit tersebut ada nodul yang jauh dari tapak persampelan sel kanser. Saya amat berharap agar nodul itu bukan kanser. Walaupun telah redha, saya resah memikirkan pembedahan, kemoterapi malah CT skan yang bakal dijalani. Tidak pernah dari kecil saya masuk wad apatah lagi melalui ujian skan begini.. Apatah lagi pembedahan.

Ya Allah.. Lama benar saya dikurniakan nikmat sihat.. 28 tahun. Takkanlah sakit yang satu ini layak memadamkan rasa syukur saya? Itulah yang saya tanam untuk menerpis bisikan jahat yang menerpa. Bandingkan nikmat yang banyak dengan ujian yang satu. Mana lebih banyak? Biasanya sekali kita buat salah, itulah yang kerap diingat sedangkan banyak lagi kebaikan yang dibuat. Takkan dengan tuhan saya nak marah hanya sebab satu ujian? Bila tersentak dengan ujian yang satu ini, satu persatu nikmat yang saya dapat terbayang depan mata. Sikap saya menerima nikmat itu turut terpamer. Rupanya untuk nikmat yang saya dapat, saya pernah berdoa untuk mendapatkannya. Bukan sahaja saya dapat apa yang saya doa, malah yang tak didoa pun Allah beri. Bercucuran air mata saya, terpancar sinar. Kalau saya doa, insyaAllah dapat. Kalau saya bersungguh doa untuk sembuh, insyaAllah saya dapat.

Tapi pada ketika itu, saya tak tahu apa yang saya mahu. Ada ketika saya rasa saya bahagia dengan penyakit ini kerana ia penghapus dosa sehingga terasa tak mahu hilang darinya. Teringat kisah Ubay bin Kaab yang meminta demam sepanjang masa setelah mendengar Rasulullah berkata sakit itu penghapus dosa walau tertusuk duri. Ubay berdoa “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta, agar Engkau tidak menghilangkan demam panas ini dari tubuh Ubay bin Ka’ab, hingga aku bertemu dengan-Mu. Tetapi janganlah demam ini menghalangi aku dari shalat, puasa, haji dan jihad di jalan-Mu.”

Saya seperti berharap yang sama. Namun iman kita tidaklah sekuat Ubay bin Kaab.

Kembali kepada kisah skan CT, bahagian perut dan pelvik adalah tempat yang perlu di skan. Saya disuruh minum hampir 500ml cecair kontras. Cecair ini mempunyai barium dan rasanya berangin dan berkapur. Cecair ini apabila diserap akan memberikan imej yang lebih baik bagi lapisan organ. Ada pesakit yang tidak perlu minum sebaliknya disuntik pewarna kontras melalui salur darah di tangannya bergantung pada tujuan yang diperlukan. Oleh kerana pewarna ini boleh memberi kesan kepada buah pinggang, sampel darah diambil untuk ujian buah pinggang terlebih dahulu.

Sebelum bermula, saya diingatkan untuk berpuasa semalaman. Pagi itu, saya perlu menunggu sekurang-kurangnya 60 minit sebelum bermula. Setelah tiba giliran, saya dipanggil untuk menukar pakaian dan baring di atas pelantar. Terdapat cecair lain yang akan disuntik melalui saluran darah yang tersedia di tangan. Terdapat juga cecair yang perlu dimasukkan melalui dubur, bergantung pada tujuan.

Setelah mendapat taklimat daripada juru x-ray, saya bersedia untuk mula. Cecair mula disuntik ke pergelangan tangan. Saya merasa cecair itu merentasi tubuh dari atas ke bawah. Panas dan dingin menjalar dalam tubuh. Saya panik, terbayangkan akhirat yang menanti. Kalaulah cecair yang sedikit ini pun boleh membuatkan rasa panas menjalar, apa lagi di akhirat nanti. Dingin yang menjalar dalam tubuh ini bukanlah dingin yang nyaman, tetapi yang hangat. Walaupun cecair itu menjalar tak sampai 5 minit, tapi perasaannya amat dalam. Takut dan seram memikirkan seksa neraka.

Saya disorong masuk melalui kamera besar yang berbentuk donut itu. Setiap kali melalui donut itu, ternampak cahaya berpusing-pusing pada pergelangan dalam donut bermakna kamera sedang mengambil imej. Prosedur ini mengambil masa sekitar 30 minit. Berbeza dengan skan tulang, saya tidak perlu dikuarantin, sebaliknya boleh bergaul seperti biasa.

Laporan skan CT menunjukkan terdapat penemuan disyaki kanser di bahagian tulang belakang dan pinggul. Saya bertemu semula pakar onkologi dan bertanyakan status kanser saya. Statusnya T4 N2 dan M1.

T untuk saiz tumor,
N untuk nodus limfa (rebakan pada nodus limfa),
M untuk metastasis (rebakan pada bahagian lain tubuh).

Bermakna, kanser saya bukan tahap 1 seperti jangkaan asal, tetapi tahap akhir iaitu tahap 4 dan telah merebak ke 1 bahagian tubuh iaitu tulang dan nodus limfa di bahagian bawah ketiak turut terdapat sel kanser. Sungguh, air mata bertakung! Saya tidak mahu air mata itu tumpah. Saya katakan kepada doktor “tuhan sayang saya dan tuhan mahu saya dekat di sisiNya”.

Apabila menangis, bukanlah simpati yang diminta, tapi mahu melepas emosi sedih. Kadang tak perlu bercakap apa-apa, cukuplah menjadi teman pendengar. Sepanjang perjalanan ini, memang air mata adalah peneman setia. Selalunya saya biarkan air mata mengalir, tetapi sebelum hanyut dan terbawa-bawa, saya berhenti.

Kadang penat menangis, saya tidur dan biasanya apabila bangkit, saya segar semula melayan anak-anak seperti biasa. Anak-anak pun walaupun masih kecil, seperti pandai menyelami emosi orang dewasa. Saya tidak dipeningkan dengan karenah anak-anak. Tidak juga mereka meminta-minta saya membelikan apa-apa. Malah pernah saya terdengar anak saya menahan esakan tangisannya ketika mahu tidur. Terangkat-angkat bahunya menahan sedu sedan seraya berdoa “Ya Allah, bagilah ummi sihat, boleh jaga abang dan adik. Bagilah ummi sihat sampai abang dan adik boleh jaga ummi. “

Setiap artikel akan dibayar RM8