Kanser

Episod 7: Kemo ke 2 – Kisah Puan Eliyana

Terima kasih kerana masih membaca catatan saya. Catatan kali ini agak berat untuk dicoretkan kerana bimbang mual dan muntah semula. Tapi Alhamdulillah Allah izin untuk tulis tanpa rasa tak selesa.

Lupa untuk saya sebutkan yang kemoterapi ini target keseluruhan sistem badan jadi kesannya agak berat berbanding kemoterapi bertarget yang target hanya di tempat tertentu.

KEMOTERAPI KEDUA
Kemoterapi pertama saya lalui dengan mudah tanpa sebarang kesan sampingan. Alhamdulillah. Belum lagi masuk kemoterapi kedua, rambut saya rasa ditarik-tarik dan beberapa bahagian badan seperti ketiak terasa amat gatal. Rintik hujan yang jatuh di kepala pun turut terasa berat. Tidaklah sakit tetapi tidak selesa.

Setelah beberapa lama, baru saya tahu itulah petanda rambut dan segala bulu roma akan gugur. Bangun dari tidur saya lihat helaian rambut melekat di baju dan bantal. Sukar untuk dibuang. Saya minta ibu untuk mencukur kepala saya agar mudah diurus. Berdasarkan pengalaman susahnya menguruskan rambut gugur, maka suka saya nasihatkan pesakit yang kemoterapinya mempunyai kesan rambut gugur agar membotakkan kepala sebelum rambut jatuh sendiri. Menguruskan rambut melekat di baju, bantal, berterabur di lantai dan bilik air agak penat bagi saya. Sakit mata melihat, penat lagi badan nak mengemas. Itupun anak-anak guna berus kiwi kasut untuk bersihkan karpet dan baju saya sebelum masuk mesin basuh.

Kemoterapi kedua saya telah bersedia mental dan fizikal. Bermulalah cabaran saya dalam menamatkan kemoterapi pada hari itu. Selepas masuk sahaja ubat anti-sickness melalui canulla yang tersedia, saya mula mengantuk. Suami datang tengahari tersebut menyuapkan makanan. Saya makan dengan mata terpejam. Saya solat dalam keadaan amat mengantuk. Malam itu saya berehat di wad. Kaki saya terasa lenguh yang teramat. Bersyukur ahli keluarga datang menjaga saya. Kaki saya diurut sehingga saya tertidur. Berhenti sahaja urutan, saya terjaga. Lalu diurut semula. Sudahnya saya tidur kerana keletihan.

Rambut dan bulu-bulu yang ada di badan amat mudah dicabut. Tariklah 5 urat sekali, tidak menyakitkan. Rambut yang mula berkurangan menjadikan saya kelihatan tua. Anak-anak tidak pula menegur tentang penampilan baru saya. Mungkin bicara mereka telah dididik oleh suami.

Kali ini rambut bukan lagi masalah utama. Saya alami sembelit. Tidak pernah dalam hayat saya melaui kesukaran untuk membuang. Sedarlah saya yang membuang najis itu juga 1 nikmat. Bayangkan toksik yang terkumpul dalam badan tidak dapat dibuang keluar. Pelbagai rasa sakit datang. Saya mula muntah dan mual. Sebarang bau yang tidak enak boleh menyebabkan saya tidak berhenti muntah. Saya tidak lalu makan. Malah minum pun tidak. Sekali masuk air, keluar semua yang ada di dalam perut. Saya amat letih. Terbaring sepanjang hari. Solat pun melakukan rukun sahaja. Tidak larat berdiri lama dan bergerak banyak. Bangun untuk beberapa keperluan yang teramat perlu sahaja. Selainnya baring

Sehari semalam berbaring, kepala mula pening. Lapar, tetapi tidak boleh menerima makanan. Kali ini saya betul-betul terasa, tiada guna duit dan makanan bila Allah tidak memberi kita selera makan. Allah pemilik segala. Dari yang sekecil-kecil perkara hingga yang sebesar-besarnya. Alhamdulillah, rakan saya yang merupakan pegawai dietitik ringan membantu. Ditakdirkan kami pernah berjiran. Melihat kepada susunan hidup saya. Saya bersyukur dan memang saya merasa hikmah atas setiap perkara yang berlaku ke atas diri ini. Rupanya bukan kebetulan tapi itulah takdir. Allah takdirkan saya tinggal di tempat lama (sebelum berpindah). Ternyata bekas jiran saya itulah yang menjadi tempat rujuk pemakanan saya. Setiap hari beliau bertanya khabar dan saya makan mengikut saranannya. Kadang dititipkan bijirin dan air jus kepada saya. Memang tidak boleh minum seteguk, pasti muntah. Jadi air disisil sedikit-sedikit menggunakan straw. Saya makan bijirin sahaja kerana tidak lalu melihat makanan berminyak. Keadaan ini berlangsung hampir seminggu.

MISI BANJIR

Selepas seminggu di rumah. Saya mula terasa bosan. Jadi saya mengikut suami untuk misi bantuan banjir jabatannya.

Pulau-pulau di sungai Kelantan teruk terkena banjir. Kami ke pulau Beluru. Perjalanan ke Pulau Beluru mengambil masa lebih kurang 10 minit dengan bot. Tiada jalan darat ke pulau ini. Misi mereka adalah untuk membantu pelajar sekolah di situ. Hanya terdapat sekolah rendah di sana.

Air sungai masih deras. Terdapat beberapa batang kayu besar melintangi sungai. Airnya keruh. Naik sahaja ke pelantar Pulau Beluru, kami mengenakan topeng mulut. Debu berterbangan di sini sana. Terdapat kesan selut yang masih belum dibersihkan di perkarangan sekolah. Tebalnya hampir ke lutut.

Pasukan kami disertai oleh pasukan perubatan dan sukarelawan. Saya pergi sebagai sukarelawan. Saya mengukur saiz kaki anak murid di sekolah itu. Pada lawatan akan datang, mereka akan membawa kasut sekolah buat anak-anak ini. Anak-anak ini semuanya tinggal di asrama, kerana kampung mereka adalah di pulau lain sekitar delta Kelantan.

Pasukan ini turut disertai oleh pelajar sarjana psikologi kanak-kanak. Aktiviti bersama murid-murid itu disusun oleh pelajar sarjana tersebut. Saya hanya membantu. Apabila ditanya kepada murid-murid sama ada mereka mahu melanjutkan pelajaran ke luar? Mereka menjawab tidak berminat. Saya bertanya lanjut apa alasan mereka tidak mahu sambung belajar? Ada yang menjawab bimbang diculik. Ada juga yang menjawab mahu cepat bekerja. Saya mula meniupkan semangat kepada murid-murid di situ. Diceritakan keindahan di luar dan juga perasaan apabila berjaya.

Tidak disangka rupanya masih ada kampung yang tidak terbuka. Anak-anak di sini tidak pernah keluar jauh. Hanya di bandar sekitarnya sahaja. Malah ada yang tidak pernah ke Kota Bharu. Kereta amat jarang diperoleh. Hanya motor yang banyak digunakan.

Teringat pada pengalaman misi banjir selepas kemoterapi pertama. Pada ketika itu, saya hanya menguruskan bantuan di markas. Sakit belakang menyebabkan saya tidak ikut turun padang memberi bantuan. Saya hanya mengasingkan pakaian dan membungkusnya dengan baik seperti hadiah.

Ketika sibuk membungkus, saya didekati satu keluarga. Mereka minta baju sekolah dan pakaian harian. Saya simpati. Ditunjukkan kotak pakaian yang telah siap dibungkus kepada mangsa banjir tersebut. Tidak semena-mena, ramai pula menyerbu. Habis pakaian bercampur aduk semula. Agaknya, sejauh mana telah mangsa ini bergerak untuk mencari pakaian? Kerana apabila sudah memilih pakaian, mereka tiada kenderaan untuk pulang. Ada yang pulang dengan menaiki motor seramai 5 orang. Ada yang menunggu mana-mana kenderaan untuk berhenti. Saya bersyukur Allah menguji saya dengan sakit yang masih mampu bergerak.

Bila kita terasa susah, lihatlah orang yang lebih susah. Jangan dibanding dengan yang lebih senang. Tak semena nanti hati jadi lemah.

KEMOTERAPI KETIGA
Seminggu mabuk kemoterapi. Masuk minggu kedua saya sudah mula mengisi masa dengan membaca, bersiar-siar dan menziarahi negeri lain dalam Malaysia. Inilah hikmah sakit. Kalau dulu, amat susah untuk kami sekeluarga bercuti. Kini, namakan sahaja ke mana, suami akan bawa. Saya turut tidak putus-putus menerima kunjungan dan hadiah daripada rakan-rakan. Alhamdulillah. Haza min Fadhli Rabbi.

Tiga minggu berlalu, saya perlu menjalani kemoterapi ketiga. Pengalaman kemoterapi kedua membuatkan saya lebih bersedia. Kali ini saya minta dimasukkan air 2 pint sebagai persediaan yang saya tidak dapat minum selepas ini. Alhamdulillah, air yang yang banyak dalam badan menyingkir cepat ubat kemoterapi. Saya tidak mengalami mabuk yang lama seperti dahulu. Hari kelima saya sudah pulih dari mabuk.

Simpati dengan ahli keluarga yang perlu meluang masa mengurut kaki saya. Allah takdirkan saya mengenali seorang tukang urut remaja perempuan yang boleh datang ke rumah. Harganya juga amat murah dibandingkan di pasaran kerana beliau masih mencari pengalaman. Malam itu kaki saya diurut sehigga saya tertidur.

Kemoterapi ini disusuli dengan CT-scan untuk menilai perkembangan rawatan. Melalui keputusan itu, saya rasa bersyukur kerana keupayaan membahagi sel kanser adalah rendah. Namun ubat kemoterapi tidak mengecilkan saiz ketumbuhan. Mahu sahaja saya berhenti daripada rawatan kemoterapi ini. Namun doktor menerangkan, ia tidak bertindak positif pada sel kanser payudara namun sel tulang nampak telah pulih. Sakit tulang pun hilang. Beliau sarankan saya untuk melengkap kemoterapi. Saya akur sebelum pembedahan yang dijadualkan bulan hadapan.

Merenung kembali, saya tak tahu bagaimana saya boleh melengkapkan kemoterapi. Sejak kemo kedua dan seterusnya, kesan mabuk menjadi-jadi. Sering sahaja saya mahu merayu pada doktor untuk berhenti. Namun apabila saya di berada di fasa rasional, saya memujuk hati. Kemoterapi seminggu sahaja mabuknya, kalau mengandung lagi lama, berbulan-bulan.

Terdetik pula pembedahan besar yang bakal saya hadapi. Tak pernah seumur hidup saya masuk wad sebab rawatan melainkan bersalin. Tak pernah dibius. Tak pernah dijahit. Tak pernah dirawat doktor di wad. Tak pernah tidur dengan pesakit lain. Bagaimana saya nak hadapi ketakutan ini. Terdetik saya kisah melahirkan anak, boleh pula menahan sakitnya melahirkan 2 orang anak.

Bagaimana hendak saya katakan… Kesakitan yang kita rasa mustahil kita dapat bertahan itu, sebenarnya dapat ditahan setelah kita lalui. Bukan setelah kita memikirkan kesakitan yang ditanggung. Bila kita mula lalui kesakitan itu, mahu atau tidak kita mesti tempuh untuk keluar dari kesakitan. Dan bila berakgirnya kesakitan itu tidaklah saya sedar melainkan bila dicoret dan diimbau. Rupanya kesakitan itu hanya sementara. Dan rupanya kita boleh lalui.

Bersyukur pada Pencipta kerana menitipkan segala bantuan dan kemudahan dalam melalui jalan ini. Sebagaimana sakit akan pergi, begitu juga kesedihan, keseronokan, kekayaan, kemewahan dan dunia yang kita diami.

Setiap artikel akan dibayar RM8