Trauma

Kehidupan Selepas Trauma

Kemalangan yang tidak terjangka

Sejauh mana pun kita cuba mengelak tapi kita tak boleh lari dari takdir Tuhan. Saya yang tak reti bawak motor, kereta dan hanya berjalan kaki ke mana-mana akhirnya tetap ditimpa kecelakaan jua. Saya kehilangan kawan yang saya baru kenali beberapa minggu sebelum kemalangan di Gua Musang. Ye, 5 orang pelajar kolej dirempuh bas di perhentian bas Gua Musang yang pernah menggemparkan negara beberapa tahun lalu.

Kita yang dilahirkan sempurna tetiba jatuh ke dalam terowong kesakitan. Kecederaan parah dari pinggang ke bawah. Patah di beberapa tempat dan luka yg sangat parah di kedua-dua belah kaki. Patah tulang tak sakit, tapi hilang kulit teramat sakit. Saya tidak pasti adakah ia disebabkan patah pada tulang belakang ataupun disebabkan kulit tersebut. Cuma kadangkala terasa ngilu di bahagian belakang badan

Kulit? Entah lah. Saya cuma mampu melihat setahun kemudian. Satu tahun luka tidak sembuh dan sentiasa berair. Pembedahan bagi pemindahahan kulit tidak begitu berjaya. Ini kerana kulit dan kawasan luka tersebut asyik dijangkiti kuman. Sakit dia ibarat disiat tiap kali proses mencuci luka. Mungkin kerana lapisan kulit yang tiada telah mendedahkan saraf-saraf menyebabkan ia sensitif dan selalu berasa sakit.

Ibu yang Tabah

Penjagaan pesakit yang terlantar adalah satu ujian yang sangat berat. Bukan semua mampu menjaga pesakit yang sedang terlantar. Mereka akan sentiasa kepenatan menjaga pesakit dan perlu juga sentiasa sabar terhadap karenah mereka. Kerana pesakit akan menjadi garang dan emosinya akan menjadi tidak stabil.

Saya tabik pada ibu saya. Ibu tunggal yang tidak pernah sekalipun meninggalkan saya ketika saya berada di dalam kesakitan. Pada mulanya dia tidak mampu melihat saya ketika proses pencucian luka. Ibu manakah yang sanggup melihat dan mendengar anak kesayangan mereka menjerit kesakitan.

45 hari di dalam wad. Mak sentiasa di sisi saya. Pada mulanya agak susah kerana keadaan saya yang langsung tidak dapat bergerak menyukarkan saya untuk membuang air. Ada teknik khas cara-cara pemakaian pampest kepada pesakit terlantar. Dalam 3-5 bulan jugaklah baru mak berjaya menukar pampest tanpa menyakiti saya.

Perlunya belajar menjaga pesakit di hospital lagi

Saya rasa pihak hospital perlu mewujudkan satu program untuk para penjaga supaya mereka tahu cara-cara yang betul untuk penjagaan pesakit. Kadang kala setelah pulang ke rumah, pesakit semakin terbiar dan akhirnya ada yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman.

Saya tahu ada pihak hospital yang mengajarkan cara dan teknik kepada ahli keluarga bagi penjagaan pesakit di rumah. Tetapi saya syorkan untuk pihak hospital memantapkan lagi program tersebut. Dan nasihat saya kepada ahli keluarga yang mempunyai keluarga yang terlantar di hospital, ringan-ringankanlah diri untuk pergi belajar dengan staf di hospital. Sebab yang akan menjaga pesakit di rumah nanti adalah anda. Bukan orang lain

Berkata dengan perkataan yang baik

Bukan itu sahaja, orang ramai terkadang tidak tahu cara yang sesuai utk bercakap dengan pesakit. Kekadang kata-kata mereka menghiris hati pesakit tanpa mereka sedari. Orang sakit ni sangat sensitif perasaan mereka kerana mereka telah melalui sesuatu yang dahsyat. Jika tidak mampu berkata yang baik, adalah dinasihatkan diam sahaja jika berjumpa dengan pesakit.

Keluarga juga secara tidak langsung terlibat dalam proses penyembuhan fizikal dan emosi pesakit. Kadang kala pesakit hanya memerlukan teman untuk berbicara setelah berbulan atau bertahun berada di rumah atau di hospital atau di pusat penjagaan.

Sikap masyarakat kepada golongan OKU

Saya juga ingin menyentuh mengenai perilaku masyarakat ketika berjumpa dengan orang Kelainan Upaya (OKU) di sesuatu tempat umum. Merenung adalah sesuatu perkara yang agak kurang sopan. Pandang sekali dgan 3 saat je dibenarkan. Lebih dari tu mungkin akan menyebabkan pesakit rendah diri.

Saya ketika baru sahaja dapat keluar ke tempat umum juga berasa amat tidak selesa jika ditenung oleh orang ramai. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk mendidik anak-anak mereka tentang kewujudan orang yang kurang bernasib baik di luar sana.

Saya pernah berjumpa dengan kanak-kanak yang secara tetiba menunjukkan pada kanak-kanak kelainan upaya dan bertanya secara agak kuat “Mama budak tu cacat ke?” Agak-agak apakah perasaan ibu kanak-kanak tadi jika terdengar pertanyaan kanak-kanak yang ingin tahu tadi? Anak kecil tidak salah kerana mereka tidak tahu. Tapi anda sebagai ibu bapa apakah peranan anda?

Yang itu belum masuk bab penyalahgunaan parking OKU dan perebutan lif. Malah banyak rungutan tentang tandas OKU dan berkunci. Kalau kunci nak OKU nak guna macam mana? Tak semestinyaa anda tidak pernah berjumpa atau nampak orang kelainan upaya (OKU) bermakna mereka tidak wujud. Macam mana mereka nak keluar berjumpa masyarakat jika begini layanan anda kepada mereka? Mereka ada di sekitar anda. Mungkin cuma anda je yang tak pernah jumpa.

***Nanti saya akan sambung tentang kisah kebangkitan selepas trauma.

Penulis: Aina Sofea

Kongsikan pengakuan anda di sini.

Setiap artikel akan dibayar RM8