Kesihatan Mental

Kemurungan Seorang Houseman

Saya merupakan seorang bekas doktor pelatih (houseman). Cerita ini mungkin selalu didengari tetapi mungkin ada manfaat buat semua. Cerita ini mungkin panjang berjela, mohon dibaca sewaktu lapang dan maaf sekiranya ada kekurangan dari segi bahasa atau terlepas pandang.

Saya mula bekerja sebagai doktor pelatih pada November 2018. Waktu tu, saya memulakan tagging (tempoh waktu para pelatih menyesuaikan diri dengan sistem kerja di wad). Pelbagai prosedur, sistem, cara merujuk kes mesti dipelajari dengan cepat agar pantas menyesuaikan diri. Alhamdulillah para senior banyak membantu. 

Saya masuk kerja pukul 6am dan balik 10pm untuk 2 minggu berturut ( balik kerja pukul 5pm pada hujung minggu). Saya menetap di hostel hospital jadi nak pergi wad jalan kaki je. Semuanya ok pada mulanya tetapi pada minggu kedua saya mula berasa kelainan pada diri saya.

Sewaktu saya tidur pada malamnya, saya tiba tiba terjaga pukul 3am dan tak boleh sambung tidur. Esoknya saya perlu masuk kerja pukul 6am, membuatkan saya stcress dan akhirnya saya menangis. Mungkin terlalu penat tetapi saya mulanya anggap ini perkara biasa. Tetapi malam itu menjadi kemuncak tekanan.

Saya buat solat sunat, cuba untuk menenangkan diri dan saya mengambil keputusan untuk memanggil Befrienders KL. Ia merupakan sebuah organisasi yang mendengar masalah dan isu para pemanggil, terutamanya kemurungan dan suicidal thoughts. Yelah, nak call orang lain pun, semua tengah tidur pukul 3 pagi. Saya berbual dengan staf bertugas hampir sejam lamanya. Alhamdulillah stafnya sangat lembut dan baik.

Beliau bertanya 
1. Boleh ceritakan apa yang terjadi 
2. Apa punca kepada isu ini 
3. Apa yang boleh saya lakukan – jujurnya waktu tu memang hanya nak berbual dengan seseorang, untuk lepaskan tekanan. Tetapi pada masa yang sama saya terfikir untuk hadir ke klinik Psikiatrik untuk mengetahui sekiranya saya depressed. Staf tersebut memberi saya nombor telefon klinik psikiatrik.

Selepas berbual, saya rasa lebih lega tetapi saya tetap mengambil keputusan untuk hadir ke klinik Psikiatri. Klinik Psikiatri di hospital saya boleh walk-in pada waktu pagi.

Di sana, saya berjumpa doktor dan menceritakan masalah saya. Badan terasa letih, berat dan minda tidak dapat fokus kepada perbualan atau aktiviti. Saya kurang suka melakukan aktiviti yang saya minati dahulu. Saya kurang makan dan banyak termenung. Fikiran saya selalu berfikir perkara negatif.

Setelah diamati, rupanya saya telah mengalami simptom ini sejak seminggu lepas, tetapi saya kurang ambil peduli dan fikir “biasalah baru mula kerja, penat tu biasa”. Saya didiagnos sebagai Adjusment Disorder with depressive mood. Saya diberi ubat Lorazepam (benzodiazepine) untuk tidur dan Mirtazapine (antidepressant), diberi MC selama seminggu dan dirujuk ke pakar psikiatrik (Kes melibatkan houseman dirujuk ke pakar). Mulanya ingatkan dapatlah MC sehari dua je tapi tak sangka pula sampai seminggu.

Senior dan supervisor juga memahami situasi saya setelah saya bercerita kepada mereka dan saya cuba berehat dan muhasabah. Saya dapat tidur dengan bantuan ubat tetapi mood dan emosi saya masih depressed.

Setelah berjumpa doktor pakar pada lawatan seterusnya (setiap 2 minggu), saya didiagnos sebagai Major Depressive Disorder. 

Dos ubat Mirtazapine dinaikkan kerana saya tetap depressed dan emosi tetap sama. Selepas 2 minggu, saya ditukarkan ubat dengan Sertraline (SSRI – Selective Serotonin Reuptake Inhibitor). Tetapi mood tetap juga depressed. Maka dos Sertraline dinaikkan pula.

Sepanjang waktu MC dan rawatan, saya duduk bersama keluarga. Mereka sangat memahami dan menyokong, tidak pernah ada keluh kesah atau berputus asa dengan saya, terutamanya Mak. Terima kasih atas keprihatinan dan kasih sayang keluarga. Moga Allah membalas kebaikan mereka dengan rahmat dan rezekiNya di dunia dan akhirat.

Pada bulan 3 rawatan, saya tetap belum pulih dan tetap mengalami depressed mood. Malah saya mula mengalami auditory hallucination, mula mendengar suara yang mengatakan saya tak berguna, lemah, bodoh dan kata kata negatif. Pada waktu ini saya diberi juga ubat antipsikotik (Aripiprazole) tetapi tetap sama, saya mendengar suara. 

Doktor mencadangkan saya dimasukkan ke wad kerana saya sudah dikira sebagai Severe Major Depressive Disorder dan memerlukan rawatan ECT (Electroconvulsive Therapy). Saya bersetuju kerana saya juga tahu rawatan ECT merupakan salah satu rawatan yang berkesan untuk severe type seperti yang saya alami.

Semasa di wad, pelbagai jenis pesakit saya jumpa. Ada yang bipolar, skizofrenia, depressed, aggressive. Saya pernah menemui dan berbual dengan mereka sebagai pelajar perubatan dahulu, sekarang sebagai pesakit pula. Antara perkara yang saya tak dapat lupa, para pesakit di situ sangat baik. Ada seorang uncle ni siap bagi KFC drumstick dekat saya sebab dia kesian tengok saya murung kot. Haha terima kasih uncle.

Selama 2 minggu di wad, saya menjalani 4 sesi ECT. 

Saya berpuasa pada malam sebelum ECT. Esoknya, para pesakit dibawa ke bilik ECT. Sewaktu rawatan, doktor akan bagi ubat bius supaya kita tidur dan ECT dijalankan sewaktu kita tidak sedar. Arus elektrik bervoltan rendah dialirkan di sekitar kepala dan kita tidak rasa apa apa sebab dah tidur. Jadi yang sakitnya pun sewaktu beri ubat bius (sakit sikit je) dan bangun bangun je dah ada atas katil, ada makanan terhidang.

Tetapi mungkin akan rasa pening, sakit kepala, mual dan blur sedikit lepas bangun tidur, kesan ubat bius. Tapi jangan risau, kesannya selalunya beberapa jam sahaja. Nurse dan doktor akan memantau keadaan pesakit selepas ECT. Sekiranya berlanjutan, doktor akan beri ubat bersesuaian dengan kesan yang kita alami

Kawan kawan dan keluarga datang melawat. Mereka juga nampak saya lebih ceria selepas sesi rawatan dan saya juga rasa lebih positif dan baik. Doktor juga membenarkan saya keluar selepas lengkap rawatan ECT. Ubat saya ditukar pula kepada Desvenlafaxine (juga anti-depressant) dan Aripiprazole untuk halusinasi.

Pada waktu ini, Aripiprazole menyebabkan saya rasa resah. Saya tidak boleh duduk diam di rumah dan bila hendak tidur, saya perlu menggunakan Lorazepam untuk tidur. Selepas berbincang dengan doktor, saya tidak perlu lagi menggunakan Aripiprazole kerana halusinasi juga hilang sehingga hari ini. 

Saya masih dalam rawatan (Desvenlafaxine) dan pemantauan doktor tetapi sekarang saya lebih ceria dan positif. Saya kembali menjalani kehidupan normal sebelum saya sakit. Saya sangat bersyukur dengan pertolongan doktor, keluarga dan kawan dalam proses pemulihan ini.

Sekarang, saya telah meletakkan jawatan dan mencari peluang pekerjaan lain. Mungkin rezeki saya di bidang perubatan setakat ini sahaja atau mungkin juga di lain masa. Apa pun, hidup tetap perlu diteruskan. Saya tidak pernah menyesal melalui pengalaman ini kerana ia menjadi satu bahagian dalam hidup saya yang bernilai.

Ada masa kita jatuh terduduk, ada masa kita akan kembali bangkit lebih tinggi dari sebelumnya. Saya percaya, satu pintu yang tertutup, ada pintu lain yang terbuka. Dan akhirnya kita akan melalui jalan kehidupan yang lebih bahagia, asalkan kita terus berusaha. 

Pelbagai pengajaran saya pelajari sewaktu tempoh depression ini antaranya :

1. Sekiranya emosi kita terganggu atau stress, luahkan pada orang yang kita rapat, kawan – kawan dan keluarga. Selalunya, sesi meluahkan perasaan amat membantu menstabilkan emosi. Sekiranya anda tidak selesa meluhkan pada kenalan, boleh cuba menghubungi Befrienders. Mereka terlatih untuk mendengar isu dan masalah pemanggil dan tidak bersifat judgemental dengan isu kita. 

2. Dapatkan rawatan di klinik kesihatan / pakar psikiatrik sekiranya masalah tetap berpanjangan. Jangan sekali- kali merawat diri sendiri tanpa pemantauan doktor dan pakar bertauliah, dikhuatiri menyebabkan masalah lain pula.

3. Sekiranya tidak serasi dengan ubatan atau ubat tidak memberikan kesan, berbincang dengan doktor pakar dan nyatakan dengan jujur. Doktor akan cuba mengoptimumkan rawatan. Sesetengah ubat memerlukan tempoh untuk berkesan dan berbeza tempoh kecepatan dan keberkesanan. Jangan malu kerana ia boleh menganggu rawatan dan menyebabkan kita mudah berputus asa. Hadir bersama ahli keluarga atau kawan agar mereka juga faham rawatan dan situasi kita. Mungkin ahli keluarga dan kawan boleh mengajukan soalan kita kalau kita malu. Pastikan anda faham rawatan dan arahan doktor.

4. Banyakkan bersabar dan lakukan akitiviti yang mendatangkan keseronokan. Bersenam merupakan aktiviti yang sangat membantu 

5. Jangan mudah menghukum orang pesakit pskiatrik. Ada yang kata kena sihir, gangguan jin dan pelbagai lagi yang boleh menyebabkan pesakit bertambah murung. Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan memberi kata semangat, motivasi dan doa.

6. Tidak dinafikan ada kes yang melibatkan gangguan alam ghaib tetapi pada masa yang sama, berikhtiarlah dengan perawat bertauliah, professional dan rawatan yang terbukti dikaji dan berkesan di peringkat kinikal. Pendek kata, produk produk jualan di pasaran yang mendakwa boleh menyembuhkan penyakit psikiatrik mahupun fizikal adalah berkemungkinan besar merugikan duit dan tidak berkesan. Sekalipun berkesan, mungkin jangka pendek sahaja dan penjual produk tidak ada follow-up dan guideline yang diiktiraf. Para penjual produk, tolong jangan ambil kesempatan ke atas para pesakit untuk keuntungan semata ye. Banyak orang cuba mencadangkan produk-produk ini kepada saya tetapi saya tidak mengambilnya. Akta Perubatan melarang para penjual mengiklankan produk yang boleh menyembuhkan 20 jenis penyakit, salah satunya penyakit psikiatrik.

7. Banyakkan berdoa. Kepada yang Muslim, banyakkan solat sunat dan membaca Quran juga. Apa pun pegangan anda, fokuskan kepada aspek positif untuk sembuh. Ia mungkin sukar untuk dilakukan di peringkat awal depression kerana fikiran negatif akan selalu datang. Di sinilah pentingnya kawan dan keluarga untuk memberi kata kata positif, semangat dan dorongan.

8. Suicidal ideation (fikiran untuk membunuh diri) biasa berlaku kepada pesakit psikiatrik terutamanya depression. Amat penting untuk ahli keluarga dan rakan rakan mengenali simptom depression. Saya banyak berfikir mengenai mati tetapi alhamdulillah tidak ke tahap suicidal ideation. Suicidal attempt amat tinggi di kalangan wanita tetapi completed suicide lebih tinggi di kalangan lelaki. 

Apa pun, hidup ini penuh dugaan dan cabaran tetapi ia juga diisi dengan kebahagiaan untuk yang berusaha. Doakan agar saya diluaskan rezeki saya di dalam apa jua bidang (mana tahu saya kembali ke bidang perubatan) dan moga kita semua selalu memberi dorongan dan motivasi kepada satu sama lain. Terima kasih kerana membaca, moga ada manfaat untuk semua dan saya memohon maaf atas kekurangan penulisan saya. 

Selamat berjuang dan percayalah, ada sinar harapan untuk kita semua 🙂 

Penulis: F

Hantar artikel di sini : Hantar artikel

Setiap artikel akan dibayar RM8