Koma 3 hari disebabkan jangkitan paru-paru

Mengumpulkan semua jenis cerita daripada segenap masyarakat.

Koma 3 hari disebabkan jangkitan paru-paru

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih kerana sudi membaca artikel atau confession saya. Disini saya ingin confess berkenaan dengan anak perempuan saya yang diberi nama Zeanyssa Naufa dan sekarang telahpun berumur setahun tiga bulan.

Saya memanggil anak saya dengan panggilan Zea. Pada syawal ketiga tahun lepas, Zea telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Ketika itu Zea baru berusia seawal 5 bulan.

Sebenarnya ketika bulan Ramadan lagi Zea sudah batuk-batuk dan selsema cuma saya dan suami anggap itu cuma batuk dan selsema biasa tanpa kami rujuk terlebih dahulu ke hospital.

Namun, pada malam raya itu keadaan Zea jadi semakin teruk selepas kami berdua bawa Zea membeli baju raya di Bazaar Raya yang semua sedia maklum terdapat kesesakan manusia yang berbagai ragam dan jenis.

Ketika pulang dari Bazaar Raya berkenaan, kami suami isteri bercadang untuk membawa Zea ke hospital memandangkan keadaan Zea masa tu memang amat merisaukan kami. Setelah pembantu perubatan memeriksa Zea pada ketika itu, dia mencadangkan untuk Zea sedut gas bagi mencairkan kahak kerana pernafasan Zea kurang memuaskan pada waktu itu.

Selepas mengambil gas sebanyak dua kali, Zea dibekalkan ubat batuk dan dibenarkan balik. Tapi, setelah dua hari keadaan Zea masih sama. Jadi, saya dan suami sekali lagi membawa Zea ke hospital pada raya ketiga dan Zea telah dimasukkan ke dalam wad oleh kerana ujian x-tray menunjukkan paru-paru dia telahpun dijangkiti kuman.

Zea ditahan di wad selama 6 hari. Disitulah bermula semuanya apabila tiap-tiap bulan Zea mesti akan ditahan dalam wad hanya kerana batuk berkahak dan selsema sehinggalah pada bulan Disember, ketika Zea berumur 10 bulan, keadaan Zea semakin teruk bila Zea tak dapat bernafas sendiri oleh kerana paru-parunya telah menjadi sempit dan memerlukan bantuan mesin pernafasan melalui mulut.

Zea telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dengan menaiki ambulans dari Hospital Taiping kerana keadaannya yang kritikal pada masa itu. Zea dimasukkan ke dalam PICU selama 3 hari dan 2 hari didalam HDU sehingga dia sedar sepenuhnya.

Doktor ada cakap punca Zea terkena jangkitan di paru-paru itu adalah kerana asap rokok dan mungkin juga faktor persekitaran yang tidak bersih seperti habuk dan sebagainya.

Jadi, nasihat saya untuk ibubapa diluar sana, tolonglah sayangi anak kita dan lindungi mereka dari persekitaran yang tidak bersih serta elakkan orang lain mencium anak kita dibahagian muka walaupun kita yakin orang itu sihat sepenuhnya. 

Sekarang Zea dibekalkan pam coklat dan biru seperti orang asma yang lain kerana doktor ada memaklumkan peratus untuk Zea mendapat kembali jangkitan itu amat tinggi walaupun doktor telah berikan Zea antibiotik yang paling efisien dan kuat semasa di dalam PICU dulu. 

Penulis: Merpati_putiH

Kongsikan confession anda di sini: Kongsi confessions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *