Uncategorized

Melasik ke bintang – Kisah Sharul

Saya di sahkan rabun jauh ketika berada di tingkatan 2. Pernah dengar “law of attraction” ?. Itulah yang berlaku kepada saya. Dari sekolah rendah saya sudah bercita-cita untuk memakai kaca mata kerana waktu itu saya beranggapan pakai kaca mata akan memperlihatkan saya seorang yang bijak dan comel. Maklumlah fikiran masih tidak cukup matang.

Akhirnya impian tercapai untuk memakai kaca mata ketika saya berumur 14 tahun. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Ini lah bahasa kias yang sesuai dengan situasi saya iaitu harapan untuk sesuatu itu berlangsung elok tapi realitinya bukan seperti mana yang diharapkan. Keseronokan berkaca mata itu hanya sekejap tetapi ia juga membataskan saya untuk melaukan banyak perkara.

Saya sudah memakai kaca mata hampir 18 tahun dan hampir lebih 10 kaca mata bertukar silih berganti. Saya adalah seorang yang cemerkap. Biasanya tidak sampai 1 tahun kaca mata saya akan rosak dan patah ataupun paling teruk hilang jatuh ke lubang tandas. Hari-hari juga berlalu dengan bermain “hide & seek” dengan kaca mata pada waktu pagi.

Teraba-raba mencari kaca mata. Kalau tidak jumpa memang tak bermulah aktiviti harian yang lain. Waktu berada di univesiti dahulu, saya juga aktif bersukan dan menganggotai badan beruniform PALAPES. Berkaca mata juga menghadkan saya untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Pernah sekali saya mencuba kanta lekap, Konon-kononnya untuk memudahkan saya bersukan. Akhirnya, sekali pakai sahaja terus saya buang kanta lekap tersebut ke tong sampah. Manakan tidak, hendak masukkan kanta lekap ke mata asyik tidak masuk. Akhirnya saya mengalah untuk memakai kanta lekap.

Pernah satu ketika dahulu, saya pergi ke panggung wayang untuk melihat filem 3D, bayangkan betapakecewa dan tidak selesanya saya memakai “spec 3D” dan kaca mata sekali gus. Kalau tidak pakai kaca mata, alamat saya lihat filem 3D kabur la jawabnya.

Sejak berkeluaga, berkaca mata lebih menyusahkan untuk saya menguruskan keluarga. Anak-anak minat benar bermain dengan kaca mata ayahnya sehingga kadang-kadang hilang tanpa jejak. Kena selongkar satu rumah baru jumpa. Dah jumpa tapi terpijak sehingga patah dua pula. Pagi-pagi minta tolong isteri untuk operasi mencari cermin mata kalau salah letak dan lupa letak di mana. Maklumlah umur semakin meningkat.

Ketika kami menetap di Copenhagen, Denmark pernah sekali saya hampir kehilangan cermin mata saya di kolam renang. Ketika membawa anak-anak berenang, saya telah di senggol oleh seorang kanak-kanak yang sedang bermain dan kaca mata saya terjatuh ke dalam air. Cepat-cepat saya meraba ke dalam kolam. Dan akhirnya jumpa.

Saya menarik nafas lega kerana jika saya kehilangan kaca mata saya, saya akan berada dalam masalah yang besar. Kenapa? Untuk membeli kaca mata di Denmark harganya sangat mahal. Harganya boleh mencecah sehingga RM4000. Pengalaman hampir kehilangan kaca mata di kolam renang ini telah menyebabkan saya tekad untuk melakukan pembedahan lasik.

Bagaimana saya bermula melakukan lasik?

Di awal tahun 2017 ini saya berpeluang menjalani pembedahan lasik di Prague, Republic Czech. Klinik ini adalah salah satu klinik pembedahan mata yang terkenal di sana. Mereka mempunyai pengalaman mengendalikan pembedahan lasik selama 15 tahun. Mereka juga mempunyai 5 cawangan di seluruh Republic Czech. Saya mengenali klinik ini dari sahabat saya yang sama-sama menetap di Copenhagen, Denmark.

Beliau telah melakukan lasik ketika melancong ke sana. Selepas itu, 2 lagi sahabat saya sepasang suami isteri juga melakukan pembedahan yang sama. Setelah mengorek sedikit sebanyak maklumat dan pengalaman dari 3 orang sahabat saya yang melakukan lasik di Prague, saya yakin dan tekad untuk melakukan perkara yang sama tambah-tambah lagi harga yang di tawarkan oleh klinik ini sangat murah dan berpatutan.

Di sokong sepenuhnya oleh isteri saya, pada penghujung bulan 2, saya bersama seorang rakan saya yang juga memakai kaca mata dan menetap di Copenhagen telah pergi ke Prague untuk melakukan prosedur Lasik.

Saya telah berhubung dengan pihak klinik hampir sebulan untuk membuat temujanji dan pembedahan Lasik. Ia agak sukar untuk kami kerana kami perlu mencari masa yang sesuai sekaligus mendapatkan harga tiket kapal terbang murah dari Copenhagen ke Prague. Maklumlah wang simpanan tidaklah banyak mana, jadi perlu melakukan bajet untuk perjalanan dan penginapan kami di Prague.

Keseluruhan proses melakukan pembedahan Lasik mengambil masa 3 hari.

Hari Pertama

Ujian mata dilakukan untuk memastikan mata kami betul-betul “fit” untuk melakukan prosedur Lasik. Inilah masa paling kritikal. Pelbagai ujian dilakukan dan kadang-kadang ujian ini perlu di lakukan berulangkali untuk memastikan ujian yang di lakukan betul-betul tepat.

Akhirnya kami lulus untuk melakukan pembedahan Lasik. Akhir sekali, kami di bawa berjumpa consultant untuk mengetahui keputusan ujian dan untuk mendapatkan penerangan bagaimana prosedur lasik dilakukan dan bagaimana penjagaan mata selepas pembedahan. Ada sahabat saya bercerita, kawannya teringin sangat melakukan pembedahan Lasik, tetapi tidak berjaya kerana peringkat pertama pemeriksaan tidak lepas. Kawannya tidak berpuas hati dan terus mencari klinik yang lain. Tetapi keputusannya tetap sama. Beliau tidak sesuai untuk melakukan pembedahan lasik atas faktor-faktor tertentu.

Hari Kedua

Hari yang di tunggu-tunggu. Selepas bersarapan kami terus bergegas ke klinik yang hanya berjarak 1 km dari hotel yang kami inap. Untuk persediaan pembedahan Lasik , kami diarahkan masuk ke bilik persalinan untuk memakai sarung baju biru dan penutup kepala. Kemudian kami diberi beberapa ubat titis dan pil tahan sakit untuk diambil sebelum prosedur Lasik dilakukan.

Di dalam dewan pembedahan, saya disuruh baring dan yang saya tidak tahan, saya di suruh memeluk patung beruang besar supaya saya sentiasa tenang ketika prosedur di jalankan. Jangan termuntah ya anak-anak abi Naufal, Hajar dan Zaim jika kamu baca ini suatu hari nanti. Terdapat dua mesin yang digunakan. Mesin pertama adalah untuk melakukan flap pada kornea. Bayangkan, kornea mata kita umpama kanta lekap dan dibuka ketika prosedurflap.

Tugas yang diberikan untuk kami oleh pakar sangat mudah. Kami hanya perlu fokus pada lampu hijau yang berkelip-kelip, dan jangan menggerakkan bebola mata ke sana sini. Mata tidak boleh berkedip lagi kerana sudah dipasang alat untuk menahan kelopak mata. 30 saat untuk setiap mata dan prosedur pertama pun tamat.

Selepas itu kami ditolak ke mesin kedua. Mesin inilah yang akan memperbaiki kornea mata. Untuk rabun jauh, kornea akan diratakan supaya cahaya boleh fokus ke retina, maka penglihatan dapat dipulihkan. Waktu ini kami terbau bau seperti hangit terbakar. Bak kata sahabat jurutera saya, bau seperti “welding” besi. Rabun jauh adalah disebabkan imej terbentuk di depan retina. Sebab itu penglihatan nampak kabur untuk objek-objek yang jauh. Kedua-dua prosedur ini tidak menyakitkan kerana kami telah diberikan ubat bius dan tahan sakit sebelum prosedur dijalankan.

Selepas pembedahan, SubhanaAllah, kami serta merta dapat melihat dengan jelas tanpa kaca mata. Selepas diberi sedikit rehat selama 3 ke 5 minit, pemeriksaan akhir dilakukan sebelum kami berangkat pulang dan kanta lekap dipasang supaya flip kornea berada pada kedudukan asal dan tidak bergerak. Apa lagi, kami terus mengenakan kaca mata hitam dan mengambil gambar lagak orang pergi melancong. Kami di berikan 2 jenis ubat titis, Ubat pertama perlu di pakai selama seminggu sahaja. Ia bertujuan supaya mata terhindar dari jangkitan kuman. Ubat kedua pula di gunakan sekerap mungkin selama sebulan. Ia digunakan untuk menghindari mata daripada kering kerana selepas pembedahan lasik, mata lebih mudah kering dan pedih.

Selepas pulang ke hotel, mata terasa sedikit pedih, berpasir dan penglihatan sedikit berkabus. Saya sedikit gementar takut-takut pembedahan tidak berjaya sepenuhnya. Pantang-larang selepas pembedahan adalah jangan sekali-kali mengosok mata.

Untuk ambil wuduk dan mandi pun kami berhati-hati kerana mata belum pulih sepenuhnya. Kami telah di beritahu untuk terus berehat selepas pembedahan dan kami terus tidur lebih kurang 4jam. Selepas bangun dari tidur, mata sudah kurang pedih dan penglihatan semakin terang. Apa lagi, kami gunakan masa yang ada untuk meronda-ronda Bandar Prague yang dikenali juga sebagai kota emas 100 menara.

Hari Ketiga

Seawal pagi lagi kami telah diarahkan untuk ke klinik untuk pemeriksaan akhir samada mata kami betul-betul ok. Kanta mata yang dipasang selepas pembedahan di buka dan konsultasi akhir diberi. Alhamdulillah, mata kami dalam keadaan baik dan bebas kaca mata. Misi kami Berjaya di Prague dengan hastag “melasik ke bintang”

Misi “melasik ke bintang” Berjaya. Alhamdulillah.

Berapa kos LASIK di klinik ini? Saya kira ia amat murah jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang lain. Contohnya Lasik di Denmark berharga lebih kurang 25,000 dkk (RM16,500). Di Prague ia berharga lebih kurang 20,500 czk (RM3,500) .

Harga yang di tawarkan klinik ini empat kali ganda lebih murah dari yang di tawarkan di Denmark. Sekarang banyak pusat rawatan mata di Malaysia yang sudah menawarkan harga rendah untuk rawatan Lasik. Mungkin sudah ada teknologi ReLEx Smile yang lebih mahal harganya menyebabkan ia lebih murah..Tetapi bagi sesiapa yang menetap di Eropah atau berkunjung untuk makan angin saya rasa harga yang di tawarkan sangat murah dan berbaloi.

Penafian: Pihak RoS Confession hanya bertindak berkongsi kisah pengalaman Sharul melakukan Lasik dan tidak bertanggung jawab untuk mempromosikan klinik yang menjalankan prosedur Lasik tersebut. Jika ada sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus kepada Sharul.

Setiap artikel akan dibayar RM8