etika sains dan falsafah

Mengapa saya beralih dari bidang sains kepada ilmu falsafah? – Kisah Hazieqa

Terlebih dahulu aku ingin berterima kasih kepada admin RoS yang mengajak aku untuk berkongsi kisah bertukar bidang dari sains ke falsafah. Mungkin melaui medium ini, aku dapat lah menambah kepada satu diskusi dalam kalangan pelajar dan pengamal sains mengenai hubungan falsafah dengan sains (atau peranan falsafah dalam sains).

Degree pertama aku ialah dalam bidang sains, aku buat ‘double major’ dalam Biologi dan Geologi . Aku masuk dalam bidang ini pun setelah pilihan degree utama aku ditolak, iaitu bidang antropologi, atas alasan aku mengambil aliran sains di sekolah menengah. Sejak Tingkatan 4 lagi aku lebih berminat kepada bidang sastera, namun setelah mendapat keputusan yang baik untuk PMR, aku mengikuti langkah kakak-kakak aku dan juga atas desakan ibu bapa, untuk masuk ke aliran sains. Ini juga sesuatu yang normal bagi pelajar yang dapat keputusan yang baik dalam PMR untuk masuk aliran sains tulen, kerana wujudnya persepsi masyarakat yang aliran sastera untuk budak-budak yang ‘tidak pandai’, sebuah persepsi yang salah sekali namun malangnya seperti kebanyakannya yang salah di Malaysia, masih lagi dikekalkan (ada seorang kawan aku yang dapat 7 A untuk PMR, masuk ke aliran sastera, rata-rata guru cuba memujuknya untuk pergi masuk ke kelas aliran sains yang menempatkan budak-budak ‘pandai’, kononnya tidak ada masa depan bila masuk aliran sastera, tetapi dia berkeras juga untuk masuk aliran sastera. Sekarang dia seorang pemain piano untuk sebuah orkestra di luar negara).

Semasa belajar degree pertama di sebuah universiti terkemuka di New Zealand dahulu, aku belajar sekadar untuk lulus. Jika membaca buku sains pun kurangnya bacaan buku rujukan sains tetapi bacaan aku lebih kepada biografi saintis atau buku yang menceritakan kembali sejarah sesuatu penemuan sains. Di universiti jugalah aku mula meluangkan masa di bahagian perpustakaan yang menempatkan buku-buku bidang humanities. Buku-buku yang aku baca bertemakan falsafah, politik, sejarah dan agama. Aku masih lagi meminati sains, tetapi bukan untuk jadikan sains sebagai karier. Aku alami sedikit krisis yang membuatkan aku menghadapi sedikit tekanan hasil daripada konflik antara karier dan minat, dan persoalan-persoalan yang tidak terjawab mengenai sains.

Selepas degree, aku bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah , mengajar Sains untuk pelajar menengah rendah dan Biologi kepada pelajar menengah atas. Sebelum itu, sejurus selepas graduasi sementara menunggu kerja tetap, aku juga ada mengajar murid sekolah rendah berumur 6 sehingga 10 tahun di ibu negara, mengajar pelbagai subjek kerana sekolah tersebut kekurangan guru. Pengalaman mengajar sains kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah amat memberi kesan kepadaku.

Tugas untuk seorang guru sains, yang utamanya ialah bagaimana hendak buat pelajar faham akan konsep-konsep sains. Aku sedar ketika mengajar pada tahun pertama aku bekerja, ada sesuatu yang tidak kena dengan pendidikan sains. Masalah yang aku sedari ini bukan hanya pada pedagogi, iaitu bagaimana mengajarkan sains kepada pelajar. Ini boleh ditanyakan kepada guru-guru veteran, dan dari kreativiti guru sendiri serta dari buku-buku pedagogi sains. Apa yang aku hadapi ialah bagaimana untuk menyesuaikan sains dengan kepercayaan masyarakat kita yang tidak hanya percaya akan kehidupan di dunia ini, iaitu masyarakat yang mengiktirafkan wujudnya Tuhan dan alam ghaib. Sains mengatakan dirinya neutral (sudah tentu sains tidak boleh bercakap, namun pengamal dan populariser sains mendakwa sebegini), neutral dari segi nilai dan kepercayaan.

Namun begitu, sesiapa yang belajar sains terutama bagi mereka yang beragama sudah tentu ada pada satu ketika dimana dia berdepan dengan sebuah fakta sains yang bertentangan dengan agama ataupun intuisi semula jadi. Contoh yang paling banyak kali dikedepankan ialah evolusi. Atau persoalan kejadian dan pengakhiran alam. Juga kesemua yang berlaku yang dikatakan hasil ‘chance’ semata dan bukannya takdir. Pada tahap awal, kita boleh menolak tepi persoalan-persoalan ini, atau, seperti pepatah Inggeris, ‘sweep it under the carpet’, namun apa yang aku lebih risaukan ialah persoalan-persoalan ini akan tetap menghantui pelajar-pelajar dan seterusnya pengamal-pengamal sains. Aku tahu kerana persoalan sebegini lah yang membuatkan aku tertekan dan mengalami sedikit krisis dalam pengajian di universiti, iaitu belajar sesuatu subjek yang membuatkan aku harus menggantung kepercayaan agamaku apabila masuk kedalam makmal. Dan pelajar-pelajar aku ada di antara mereka sudahpun bertanya soalan seperti di manakah peranan Tuhan dalam kesemua kejadian ini jika semuanya pun boleh dijelaskan dengan hasil pergerakan rawak atom atau keinginan asas untuk penyambungan zuriat.

Tidak, aku bukanlah alim sangat sampai betul-betul ambil kira apa hubungan agama dengan sains. Namun tidak dapat dinafikan sudah ramai yang meragui kebenaran agama kerana fakta sains membawa kearah konklusi yang berbeza dari agama. Dan kebanyakan ateis pula mengangkat sains sebagai bukti agama itu tidak diperlukan lagi , khususnya ateis militan acuan Richard Dawkins dan Sam Harris, walaupun ada saja golongan ateis yang dapat menghormati orang beragama.

Kedua-duanya, Dawkins dan Harris merupakan ahli biologi, Dawkins seorang pakar evolusi dan Harris sebagai seorang pakar neurosains. Kedua-duanya terdorong menolak agama dengan menggunakan justifikasi evolusi dan neurosains. Evolusi menolak wujudnya teleologi dalam kehidupan, jadi tiada tujuan yang ‘grand’ untuk kehidupan seperti yang didakwa agama. Evolusi boleh menerangkan kenapa adanya agama , antara penerangan yang dicadangkan ialah, manusia perlu berada dalam kumpulan atau hidup berkelompok untuk tingkatkan daya ‘survival’, dan antara sesuatu faktor yang boleh menyatukan manusia ialah kepercayaan dan ritual agama (ini ialah hasil aplikasi teori evolusionari psikologi kepada falsafah agama). Neurosains pula masih lagi mendebatkan misteri disebalik kesedaran (consciousness), dan persoalan mengenai roh. Belum ada satu pandangan yang dipersetujui oleh semua ahli neurosains, namun pandangan yang meluas ialah apapun mekanisme penghasilan kesedaran, ianya berasaskan sesuatu yang material iaitu proses neural. Akhirnya, sesuatu yang disangkakan bukan material ialah sebenarnya material. Kajian mengenai kesedaran masih berlaku, namun Sam Harris dengan angkuhnya sudah pun menjaja ketiadaan ruh seperti yang dicanang oleh agama dalam karya-karyanya (mungkin Harris tidak membaca Kuhn ataupun melihat sekali imbas perubahan paradigma dalam sains yang mana sesuatu yang dipersetujui majoriti saintis pada satu masa boleh ditolak dan dianggap langsung tidak munasabah pada masa yang akan datang apabila majoriti saintis memegang paradigma yang baru).

Dan aku sememangnya tidak bersetuju dengan pendekatan yang mana ayat-ayat Quran dipadankan dengan fenomena-fenomena sains kerana bagi aku, ini hanyalah pada tahap yang superfisial. Fenomena sains boleh berubah dan Quran bukan buku saintifik. Dan agama tidak perlu menjadi apologis, tersipu malu kepada sains sehingga mendesaknya untuk menggali ayat-ayatnya sendiri untuk dibandingkan dengan sains. Secara implisit menjadikan sains sebagai piawai (standard) kepada agama, sesuatu yang menjatuhkan taraf agama (dan timbul persoalan kenapa mesti sains yang menjadi piawai kepada agama? Dan apakah sains sahaja satu-satunya yang membawa metodologi yang betul?).

Keresahan ini membuat aku sentiasa rasa tidak senang apabila mengajar, ditambah lagi dengan sistem pendidikan kita yang bukan bertujuan untuk menghasilkan mereka yang faham ilmu, tetapi lebih kepada mereka yang mahir meneka dan menjawab peperiksaan. Aku akhirnya nekad untuk melepaskan kerja dan menyambung pengajian dalam bidang falsafah.

Terdapat dua peristiwa yang menjadi titik perubahan untuk aku membuat keputusan drastik ini. Dalam aku bekerja, aku berpeluang menghadiri sebuah konferens untuk guru-guru sains dimana salah seorang tetamu jemputan ialah Prof Dr Azizan Baharuddin, Ketua Pengarah IKIM yang juga seorang bekas pensyarah dalam bidang sains dan falsafah sains. Ucapannya memang mengena dengan keresahan aku mengenai sains yang diceraikan dari keagamaan dan spiritualiti, dan kepentingan untuk membawa pandangan Islam dalam pendidikan sains. Aku memang betul-betul kagum dengan sisi pandang yang bagi aku sangat segar ketika itu kerana dia tidak seperti yang lain yang cuba untuk mengahwinkan sains dengan agama pada tahap permukaan sahaja, dia menekankan falsafah disebalik sains moden yang hanya disentuhnya dengan ringkas pada hari itu. Aku menghantar emel kepadanya selepas itu untuk meminta nasihat dan dia mencadangkan beberapa judul buku untuk dijadikan titik mula kepada dunia falsafah sains( Atlas Budaya Islam oleh Ismail Faruqi dan karya-karyanya sendiri, Islam and Science selain mengiklankan radio ikim kepada aku).

Peristiwa yang kedua terjadi juga pada minggu yang sama, dimana seorang sahabat yang sudah lama aku tidak jumpa menghadiahkan aku dua buah buku, ‘Islam and Secularism’ karya S.M. Naquib al-Attas, dan ‘Scientific Thoughts and Its Burdens’ karya Alparslan Acikgenc.

Barulah aku tahu mengenai wujudnya suatu bidang yang dipanggil Falsafah dan Sejarah sains yang diajarkan di universiti-universiti khususnya di Barat. Akhirnya selepas beberapa bulan berfikir mengenainya, dan membaca bacaan-bacaan yang dicadangkan (walaupun bukan semua), aku mula merangka permohonan untuk kemasukan tahun seterusnya kepada sebuah program pengajian falsafah, dan menulis surat perletakan jawatan.

Penglibatan aku dalam dunia falsafah membawaku kepada keinsafan yang sains tidaklah se-rasional yang dicanang-canangkan, seperti yang aku sendiri percaya pada suatu ketika (dan seperti yang aku pernah ajarkan dahulu). Bahawa ada pemikir-pemikir sebelum ini yang sudah pun membincangkan pemikiran disebalik sains moden, samaada di Barat ataupun di rantau kita sendiri. Sains sememangnya boleh dikritik kerana sains juga mempunyai titik butanya sendiri, dan sains masih memerlukan ‘insights’ dari bidang-bidang seperti sejarah, sastera, agama, dan falsafah untuk kemajuannya sendiri, walaupun kadang-kadang tidak diperakui oleh para pengamal sains.

Ini tidaklah bermakna sains perlu ditentang. Sains diakui menghasilkan pelbagai kesenangan kepada manusia dan jika dibandingkan dengan falsafah, lebih banyak keputusan yang konkrit dan amat berguna bagi manusia (seperti kata Bill Nye tahun lalu yang mengundang kontroversi). Namun tidak adil untuk mengadili falsafah dengan undang-undang sains. Bidang sastera mempunyai metodologinya tersendiri dan tidak wajar didesak untuk menghasilkan keputusan seperti keputusan eksperimen sains, kerana bukan tujuan bidang tersebut untuk memuntahkan keputusan pada kadar yang sama dengan sains , ataupun ditugaskan untuk membawa kepada kemodenan.

Penulisan ini tidak berniat untuk melagakan saintis dengan pelajar falsafah ataupun bidang sastera yang lain. Fokus utama aku masih lagi memikirkan bagaimana kaedah mengajarkan sains yang sesuai untuk pelajar-pelajar khususnya dari masyarakat luar bandar, serta yang tidak akan menghasilkan saintis yang perlu menggantungkan kepercayaannya ataupun yang bersifat apologetik dengan agamanya. Aku impikan sebuah pendidikan sains yang tidak akan mengasingkan pelajar-pelajar dari tradisi dan budaya masyarakatnya. Tanggungjawab untuk pendidikan sains sebegini perlu digalas bersama oleh para pengamal sains dan pakar-pakar dari bidang sastera seperti falsafah, agama, sejarah, dan pendidikan. Pelajar dan pengamal sains perlu diberikan kesedaran mengenai kepentingan sejarah dan falsafah sains.

Mereka perlu menyedari bahawa adanya kritikan terhadap sains dari pelbagai sudut, tidak semestinya diambil dari sudut anti-sains yang jumud semata, seperti golongan Flat Earth Society atau anti-vaksin (antara perkara yang membuatkan aku risau juga dalam menghasilkan atau mempopularkan kritikan terhadap sains ialah apabila kritikannya diguna juga oleh golongan seperti ini). Kritikan kepada sains tidak terhad hanya kepada sisi pandang agama, wujud juga kritis Marxis terhadap sains, dan kritis Critical Theory yang mana fokus dihalakan kepada sosiologi dan sisi politik disebalik sains moden, ataupun untuk kritis sains dari pandangan fenomenologi, dihalakan kepada metodologi sains serta kekaburan takrif mana kewujudan. Kritis dari sisi pandang non-teologi ini amat menarik untuk diterokai.

Aku akhiri perkongsian ini dengan membawa beberapa nama cendikawan yang terlibat dalam kritis terhadap sains serta pendidikan sains di rantau kita pula, untuk menjadi rujukan kepada sesiapa yang berminat. Ada baiknya jika para saintis dan pelajar sains didedahkan dengan pemikiran-pemikiran mereka ini. Kita ada Prof. SM Naquib al Attas dan anak-anak muridnya di CASIS, UTM yang melakukan usaha Islamisasi ilmu dengan fokus kepada sisi pandang Islam, kita juga ada ahli akademik seperti Prof. Shaharir Md Zain, bekas timbalan Naib Canselor UKM yang sudahpun selama berpuluh tahun mengkaji dan mempopularkan kajian terhadap etnosains, dengan pandangan bahawa sains moden yang diajarkan sekarang tidak sesuai dengan jiwa masyarakat kita dan perlunya usaha untuk me-malaysiakan ilmu sains dan matematik . Bidang yang sama juga menyaksikan Dr. Alinor Kadir (serta pengkaji-pengkaji lain) menggali kembali manuskrip-manuskrip lama di rantau kepulauan Melayu untuk mencari tradisi sains dan teknologi masyarakat nenek moyang kita pada abad-abad lalu. Dan kita juga ada Prof Dr Osman Bakar yang sekarang berkhidmat di Universiti Brunei yang telah menghasilkan beberapa buku yang khusus menyentuh Sains Islam. Sudah tentu ada lagi nama-nama pengkaji yang aku tak sedar tapi sedang giat melakukan kajian dalam bidang yang sama, dan aku mohon maaf atas kejahilan ini. Semoga usaha mereka-mereka ini diberkati.

Rujukan
1. Damon Isherwod, ‘Science at Last Explains our Soul’, dalam ZME Science. http://www.zmescience.com/science/science-explains-our-soul/
2. Olivia Goldhill, ‘Science can’t Totally Explain Consciousness and It Never Will’, dalam Quartz https://qz.com/708632/science-cant-totally-explain-consciousness-and-it-never-will/
3. Pendapat Bill Nye terhadap falsafah, https://www.youtube.com/watch?v=ROe28Ma_tYM&ab_channel=BigThink

Cadangan Bacaan Lanjut.
1. Jimena Canales, The Physicist and the Philosopher: Einstein, Bergson, and The Debate that Changed Our Understanding of Time. Princeton University Press, 2015. – sebuah buku yang amat baik untuk bersuai kenal dengan kerja seorang pengkaji dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains , dan juga menyatakan sejarah teori relativiti Einstein dan pertembungan teori ini dengan falsafah Henri Bergson mengenai masa.
2. Martin Heidegger, Modern Science, Mathematics and Metaphysics, 1956. Kritis sains dari falsafah fenomenologi/eksistensial Heidegger, boleh dibaca di http://cdn.preterhuman.net/texts/thought_and_writing/philosophy/Heidegger,%20Martin/Heidegger%20-%20Modern%20Science,%20Metaphysics%20%26%20Mathematics.pdf
3. Karya-karya para cendekiawan yang disebutkan dalam perenggan terakhir.

Jika anda berminat untuk berkongsi kisah anda, hantarkan di sini: https://rootofscience.com/rosconfession/pengakuan/

Setiap artikel akan dibayar RM8