Pelbagai

Mengendong anak semata-mata untuk ke IJN

Sebelum ini saya berkerja di suatu Hospital di Daerah Pahang. Saya berpeluang berjumpa dengan seorang pesakit yang sentiasa menjadi sebutan Dr pakar kanak-kanak kami iaitu Shariman. Mungkin boleh jadikan kisah ini sebagai pengajaran kepada diri kita yang asyik tidak bersyukur

Shariman ni kalau tengok dia ni seperti kanak-kanak biasa yang lahir dengan tiada sebarang kecacatan pun. Tetapi Allah nak uji dia dan keluarga dia dgn memberi satu penyakit yang dinamakan Rheumatic Heart disease. Penyakit ini disebabkan antibody badan menyerang bahagian jantung badan penghidap itu sendiri. Majoriti pesakit akan dijangkiti sakit tekak yang disebabkan kuman Streptococcus pyogenes dahulu sebelum menghidapi penyakit ini.

Penyakit ini telah datang berkali-kali ketika mana Shariman mengalami jangkitan kuman tersebut. Hinggalah satu ketika injap jantung Shariman menjadi rosak sehinggakan dia mengalami simptom-simptom lemah jantung. Jalan beberapa tapak pun dah rasa termengah.

Baring pun tidak boleh sepenuhnya menelentang. Perlunya ada beberapa bantal yang membuatkan dia tidur sedikit menegak dalam keadaan duduk. Kalau dia baring menelentang, dia akan sesak nafas seolah-olah kelemasan di atas darat. Ini disebabkan pesakit lemah jantung senang untuk dimasuki air ke dalam bahagian dalam paru-parunya.

Disebabkan keadaannya semakin tidak baik, pakar kanak-kanak kami pun merujuknya ke Institut Jantung Negara utk pemeriksaan yg selanjutnya bagi masalah jantung dia. Mereka ingin berjumpa Shariman di klinik Pakar mereka.

Sebelum itu, ingin saya bagitahu yang rumah Shariman terletak di pedalaman. Jika nak pergi ke pekan, dia perlu berjalan beberapa kilometer dahulu untuk sampai ke jalan besar dan daripada situ dia akan ambil teksi ataupun bas untuk pergi ke pekan, hospital mahupun bandar.

Setelah dirujuk ke IJN, Ibu Shariman mendapat panggilan drpd IJN utk pergi ke situ pada sekian-sekian tarikh. Ini merupakan temu janji yang pertama daripada IJN untnk melihat keadaan sebenar Shariman dan untnk menentukan cara rawatan yang manakah yang terbaik untuk Shariman.

Keluarga Shariman bukanlah keluarga yang berada. Utk pergi ke IJN itu sendiri memerlukan kos yg besar apatah lagi menerima rawatan daripada IJN itu sendiri. Dengan bantuan orang kampung dan juga daripada jabatan kebajikan masyarakat, duit dapat dikumpulkan untuk Shariman menerima rawatan tersebut.

Dan hari yang dijanjikan telah pun datang. Shariman bertolak daripada Pahang ke KL pada awal pagi untuk ke IJN. Mereka tidak menaiki kereta sewa, taxi mahupun ada orang yang menghantarkan mereka ke sana Tetapi mereka terpaksa bersesak-sesak menaiki bas untuk ke sana.

Bayangkan dia yang sedang mempunyai lemah jantung(heart failure) berjalan-jalan ke sana ke mari untuk pergi ke IJN. Sudah tentu dia tidak mampu. Lepas beberapa langkah menapak sahaja, dia terus terasa mengah.

Dan ketika mana Shariman sudah tidak larat, ibunyalah yang mengendong shariman di belakangnya. Allah. Ibunya itu sudah berumur 50an dan ketinggiannya kurang drpd 150cm shaja. Makna kata ibunya itu seorang yang kecil sahaja tubuh badannya. Walaupun demikian, disebabkan ingin melihat anaknya sihat sama seperti kanak-kanak yg lain, dia kuatkan diri juga utk mengendong shariman ke IJN.

Begitulah keadaan mereka beberapa kali ketika mana ada appointment di IJN sehinggalah doktor IJN membuat keputusan untuk melakukan pembedahan jantung utk Shariman.

Cerita ini tidak saya ketahui sehinggalah saya menemuinya selepas pembedahan jantung dilakukan ke atas Shariman. Dia pun mempunyai appointment di Hospital kami utk memantau kondisinya di sini. Ternyata shariman semakin cergas dan sihat selepas pembedahan jantung tersebut. Tiada lagi simptom lemah jantung yg dialaminya sebelum ini.

Yang menceritakan kisah ini pun sebenarnya kepada saya adalah Dr pakar kanak-kanak kami. Selepas menyelesaikan temujanji Shariman di klinik Pakar kami, Pakar saya pun bercerita kepada saya ,”Kamu tahu tak waktu mereka berdua pergi ke IJN sebelum-sebelum ini, ketika mana Shariman merasa letih, ibunya itulah yg mengendong Shariman di belakangnya untuk pergi ke IJN”. Pakar saya pun menarik nafas seolah-olah menahan kesedihan.

Kadang-kadang kita rasa sudah teruk di uji. Tapi ada juga orang lain yang lagi besar ujiannya daripada kita.

Penulis: LS

Setiap artikel akan dibayar RM8