mengalami sakit mental setelah berkahwin
Uncategorized

Menghidapi Sakit Mental Lepas Berkahwin

Saya menulis perkara ini bukan menidakkan perkara yang ghaib. Tetapi saya tidak suka bomoh atau ustaz yang suka memasukkan penyakit hati kepada manusia. Inilah syaitan sebenar.

Dahlah tidak membantu dalam kesembuhan pesakit. Malah mendatangkan penyakit hati kepada ahli keluarga yang lain. Beberapa hari yang lepas, isteri saya ada menceritakan berkenaan penyakit misteri yang dialami oleh sepupunya.

Sepupunya bernama Sarah(bukan nama sebenar). Sarah sebelum berkahwin adalah seorang yang ceria, suka bersosial dan aktif. Tetapi semenjak melahirkan anak pada awal tahun ini, segalanya berubah. 

Dia menunjukkan simptom-simptom yang pelik. Dia menjadi seorang yang senyap dan tidak bersembang dengan orang lain. Pernah dia terjerit-terik meroyan dan Sarah juga selalu mengatakan biliknya kelihatan mengecil termasuk pintu biliknya.

Dalam perubatan, perkara ini dinamakan sebagai ‘Derealiziation’. Seseorang itu mengalami derealization apabila dia merasakan apa yang dilihatnya itu bukan suatu yang realiti. Ada yang mengambarkannya mereka seolah-olah berada di dalam mimpi walaupun pada ketika itu kita berada di samping mereka. 

Dalam kes Sarah ini, dia merasakan biliknya mengecil iaitu pada realitinya bilik itu sama saiznya dan tidak berubah. Disamping itu, bayi yang baru dilahirkan itu seolah tidak dihiraukan dan dirinya sendiri tidak terurus. Makan pula perlu disuapkan oleh ahli keluarga. Pada ketika itu, dia masih tinggal dengan keluarga mertuanya.

Disebabkan Sarah mengalami perangai yang pelik ini, maka keluarga mertuanya membawa Sarah pergi berjumpa dengan bomoh/ustaz yang mereka ‘percaya’. Biasalah kalau dah jumpa bomoh/ustaz ini, kebanyakannya mesti akan bagi jawapan yang sama supaya kita semua percaya dan mengikut je apa yang dia cakap.

Ustaz tu cakaplah yang penyakit ini disebabkan ada orang yang menghantar penyakit tersebut kepada Sarah. KATA KUNCInya disini ialah ia disebabkan ‘Perbuatan orang’. 

Kata Ustaz itu lagi, ia disebabkan Sarah ini telah melakukan sesuatu dosa iaitu bermulut ‘laser’ hingga menyebabkan orang tersebut tidak berpuas hati. Tu yang dia hantar jin untuk mengganggu dia. Jadi mereka pun berubat, tetapi keadaan Sarah tetap sama dan ahli keluarga mertuanya pula diganggu.

Lalu Sarah pun dihantar semula kepada ahli keluarga kandungnya untuk mengelakkan keluarga mertuanya diganggu disamping meneruskan pengubatan tersebut.

Mengenai rawatan hospital, Sarah ada pergi sekali sahaja ke hospital untuk rawatan bagi merawat penyakitnya. Yang bawa ketika itu adalah ibunya sendiri dan doktor memberikan ubat Anti-depressant kepada Sarah. 

Pada ketika itu, Sarah hanya mengambil sekali sahaja ubat tersebut. Itu pun dia memuntahkannya semula. Dia juga tidak pergi follow up kerana ibunya tidak membawa dia berjumpa doktor selepas dari itu dan lebih kepada ingin berubat secara kampung terlebih dahulu. 

Keadaan sekarang adalah lebih teruk disebabkan Sarah menjadi semakin susah nak makan hingga menyebabkan badannya menjadi semakin kurus.

Jika dengar daripada cerita isteri saya, Sarah sebenarnya mengalami satu masalah yang dikenali sebagai `Postpartum depression` iaitu kemurungan yang berlaku selepas seseorang itu melahirkan anak. Bahkan, doktor pun sebenarnya telah memberikan ubat anti-depressant kepada Sarah untuk merawat masalahnya.

Tetapi disebabkan ahli keluarga masih percaya kepada so called Ustaz ini, maka Sarah masih lagi tidak sembuh daripada masalah tersebut. Bahkan saya memang tidak suka jenis ustaz ataupun bomoh yang asyik ingin menuduh orang lain menghantar jin dan sebagainya untuk mendatangkan penyakit kepada orang lain.

Ini menyebabkan orang disekeliling pesakit percaya kepada perkara tersebut, sedangkan pesakit tersebut sedang terseksa batinnya disebabkan kemurungan yang dialaminya.

Jika ada kes-kes macam ini, bawalah berjumpa doktor seawal yang mungkin dan percayalah kebanyakan bomoh/ustaz yang asyik tuduh orang lain itu adalah mereka yang suka scam orang. Mereka inilah penipu dan pembohong besar. Kita akan perabis duit untuk perkara yang sebenarnya kalau pergi ke hospital hanya perlu bayar beberapa ringgit sahaja.

Setiap artikel akan dibayar RM8