Pengalaman Demam denggi saya

Mengumpulkan semua jenis cerita daripada segenap masyarakat.

Pengalaman Demam denggi saya

Pengalaman demam denggi saya ialah pada tahun 2007, semasa di Shah Alam. Saya tinggal di salah sebuah flet di seksyen 17.

Bermula dengan demam biasa, keadaan saya mendadak berubah pada hari kedua. Demam makin panas dan saya tak mampu berdiri.. Sampai kan terpaksa merangkak ke bilik air. Seluruh pemandangan saya waktu itu ibarat dalam sebuah kapal yang teroleng-oleng di laut. Bila berdiri saja, rasa nak jatuh. 

Dengan bantuan rakan serumah, mereka membawa saya ke HTAR Klang. Dan saya disahkan menghidap demam denggi selepas keputusan ujian darah. Terus saja saya di masukkan ke wad dan saya kurang ingat selepas itu. Cumanya bila saya sedar, jururawat yang kejutkan saya untuk ambil darah. Hari pertama, darah diambil setiap 4 jam (kalau tak silap) , hari kedua dan selepasnya setiap 6 jam. Banyak juga botol air yang masuk semasa saya di wad, dan yang melawat juga bawakan minuman isotonik untuk saya minum (sampai hari ni, dah tak lalu nak tengok minuman isotonik). Pada hari ke-4, baru saya discaj dari hospital. 

Sewaktu di hospital, seluruh badan saya ada bintik merah kecil dan sendi juga terasa sakit serta lenguh. Agak lama juga untuk lenguh-lenguh itu hilang, tak silap hampir 5 bulan jugalah. Doktor juga ada pesan untuk lebih berhati-hati sebab kalau saya kena denggi untuk kali kedua, keadaan kesihatan saya akan lebih terjejas dari sebelumnya.

Saya bernasib baik sebab demam denggi yang saya alami masih mampu dikawal dan saya beroleh kesembuhan. Cuma saya tidak nafikan, kesan akibat denggi sedikit sebanyak menjejaskan kemampuan tenaga dan stamina saya. Kalau dahulunya saya mampu untuk naik tangga ke tingkat 4 tanpa rasa mengah, naik ke tingkat satu pun sudah cukup memenatkan. Nak senaman pun tak selesa sebab sendi terasa sakit.

Semoga suatu hari nanti, diketemukan penawar khusus untuk demam denggi ini.