Uncategorized

Sisi Gelap Graduan Bidang Sains Tulen (Balasan kepada Scientist Frust)

Post ini dibuat sebagai balasan kepada post Scientist Frust di page IIUM Confession

Sewaktu saya menulis ini, saya baru sahaja selesai membaca pengakuan daripada rakan sebidang di IIUM confession. Pengakuannya berkitar tentang harapan palsu yang diterima sejak di bangku sekolah apabila ramai (termasuk kerajaan dan orang awam) menyaran untuk menceburi bidang STEM yang dikatakan akan berkembang pesat. Ramai bezikir yang “kita perlukan ramai saintis dan engineer pada masa hadapan. Anak-anak depan saya inilah yang akan mengisi kekosongan itu”. Pendek kata, bidang STEM adalah masa hadapan. Jika tak ambil, anda akan ditelan oleh arus masa dan kemodenan.

Tetapi ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Apabila mereka (kami) bergraduasi, apa yang dimomokkan daripada bangku sekolah meleset sama sekali. Sangat sikit rakan sebidang kami yang bekerja di bidang sains. Malah, pekerjaan yang dikatakan berkait rapat dengan bidang sains tulen (sainstis, penyelidik, mengendalikan produk pasaran atau perhidmatan dengan ilmu sains, dan lain-lain).

Kebanyakannya bekerja di bidang berlainan dan membuka bisnes sendiri. Ramai juga yang terperangkap dengan “money game” apabila menyertai MLM dan ada antara mereka yang terpaksa menjual barangan sains palsu. Ada yang rakan kecewa dan sambung belajar kerana tidak mendapat kerja. Tetapi dua kali kecewa apabila bidang pengajian tinggi juga tidak seperti yang diharapkan. Kebanyakan ramai yang lompat ke bidang lain seperti bidang insurans, marketing, akaun, audit, human resources, editor majalah, berniaga, dan berbagai lagi.

Ada juga rakan yang menyedari realiti ini setelah berada di tahun dua atau tahun akhir pengajian. Tetapi there is no turning back. Mereka yang menyedari ini sama ada berusaha sebaik mungkin atau sudah mula berjinak-jinak dalam bidang lain sebagai persediaan bergraduasi. Saya masih ingat rakan saya berbincang untuk membuka gelanggang futsal setelah bergraduasi. Sebab mereka tahu kepayahan mencari kerja , jadi lebih baik mereka cipta peluang pekerjaan itu.

Tetapi saya tidak dapat bersama mereka kerana saya tiada wang yang dijadikan modal untuk bersama mereka dalam memulakan perniagaan. Modalnya bukan sedikit. Buat pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pelajaran dan bekerja sewaktu cuti semestar, RM5K sudah rasa terlalu banyak. Mereka memang hebat dan sudah siapkan kertas kerja. Telah lengkap kajian pasaran, memiliki sebut harga barangan yang diperlukan untuk membuka gelanggang futsal, dan berbagai lagi keperluan. Cuma mereka ada satu masalah, iaitu rakan kongsi daripada bidang perniagaan yang betul-betul ada modal untuk bersama mereka.

Berbalik kepada confession tadi, confession itu bukanlah seperti confession graduan yang bising-bising tak dapat kerja dan salahkan kerajaan atau orang sekeliling kerana tidak menyediakan kerja untuk mereka. Dia tidak juga seperti graduan yang mengomel “belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga”. Dia bukanlah graduan yang sedang berada dalam keistimewaan tertentu tetapi masih lagi marahkan masyarakat apabila sudah bekerja tetapi frust gaji tak dapat memenuhi lifestyle urban/mewah mereka. Gaji sebenarnya kalau ikutkan sudah besar untuk fresh graduate, tetapi tak cukup untuk beli rumah dan pada masa yang sama membayar ansuran bulanan kereta yang bernilai hampir 1/3 gaji mereka. Berkenaan tentang kelembapan gaji ini, sudah banyak kali saya katakan tentang lambakan pekerja asing dan penindasan kapitalis terhadap golongan pekerja menjadi faktor utama. Itu kita bincang lain.

Menariknya confession kali ini adalah, confessor mengkritik dan ingin membuka laluan kepada perbincangan akarnya, iaitu mitos yang dimomokkan sejak bangku sekolah kepada kami. Mitos ini sudah banyak kali saya tekankan dan saya telah tulis berkali-kali dan pesan kepada graduan baru. Iaitu mitos, masuk universiti bekerja dalam bidang yang mereka pelajari dan satu lagi mitos paling besar adalah, lepas bergraduasi akan dapat kerja yang bergaji lumayan. Pada asalnya mitos yang disenaraikan tadi bukanlah mitos sejak dari azali, tetapi ianya adalah benar sebelum pasca kemodenan dimana ianya telah dialami oleh generasi sebelum kita (generasi ‘x’ dan sebelumnya).

Sejujurnya, ramai rakan saya telah lari ke luar negara dan tidak mahu kembali ke Malaysia kerana kecewa dengan termakan dengan mitos ini. Yang kembali pun sebab untuk settle down dan telah dijanjikan/mendapatkan jawatan atau pekerjaan yang telah selamat kedudukannya di Malaysia. Walaupun sebenarnya perjalanan karier mereka lagi cerah jika terus tinggal ke luar negara, bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu dinegeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Saya pernah jumpa terbaca tentang penerima hadiah nobel keamanan daripada Malaysia, iaitu Mohd Nasarudin Mohd Yusof . Dia menegaskan hadiah ini adalah pencapaian organisasi dan bukan individu. Namun ada ulasan menarik yang dikatakan oleh beliau, iaitu,

“Saya tidak boleh kembali lagi kerana tidak ada kerja di Malaysia untuk bidang pengkhususan saya.

“Saya boleh memberi sumbangan yang lebih jika saya tinggal di The Hague walaupun saya benar-benar rindukan suasana Malaysia,” katanya berjenaka.

Kata-kata ini memberi seribu makna kepada golongan pengkhususan(specialist) dalam bidang tertentu. Iaitu graduan sains tulen yang sangat ramai di luar sana. Saya amat memahaminya apabila sudah berada di dalam bidang penyelidikan yang agak jarang dilakukan oleh orang lain, tetapi ianya adalah penting bagi masa depan bagi merapatkan jurang pengetahuan untuk potensi yang sangat besar. Jika di luar negara, penyelidikan kumpulan kami boleh mendapatkan dana yang cukup besar dan diberikan perhatian ramai pihak.

Malah, kita pernah membaca jurutera bergaji tinggi pulang ke Malaysia untuk berkhidmat tetapi akhirnya kembali ke luar negara apabila sukar untuk mendapatkan kerja dan merasai kepakarannya tidak dihargai.

Saya bersetuju dengan confessor tersebut. Kita perlu mendedahkan realiti yang sudah menjadi mitos ini seawal yang mungkin kepada anak-anak kita. Mereka mesti tahu yang masuk universiti tidak semestinya akan bekerja dalam bidang yang telah “dipilihkan” sewaktu alam universiti oleh “masyarakat” dan pihak tertentu. Dan yang paling penting adalah, mereka perlu tahu yang masuk universiti sebenarnya bukanlah semata-mata untuk mendapatkan tempat dalam alam pekerjaan. Mereka perlu tahu yang rezeki itu bukanlah sekadar dalam bentuk wang untuk sara diri. Dan yang paling penting adalah untuk mengembalikan fungsi dan nilai universiti itu sendiri, iaitu Universiti adalah tempat berkembangnya ilmu dan melatih pelajar untuk membimbing masyarakat.

Ya, saya mungkin idealis apabila mengatakan Universiti adalah ladang ilmu, tempat bertempurnya idea dan falsafah. Tempat berentap disiplin ilmu, dan meluaskannya. Tetapi itulah antara hakikat sebenarnya universiti ditubuhkan.

Menerusi dokumentari bertajuk “Ivory Tower”, ada dinyatakan antara idea awal penubuhan universiti. Iaitu sewaktu zaman pengkolonian Amerika, terdapat idea untuk menubuhkan sebuah kolej yang lahir daripada kemegahan ilmu Univesity of Cambridge (anak University of Cambridge). Sewaktu Puritan (kumpulan Protestants) tiba dan bertapak di New England (USA), mereka mempersiapkan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan lain-lain. Dan akhirnya barulah mereka mula menumpukan perhatian untuk memulakan/membina kolej.

Kolej yang didirikan padat dengan syarahan. Syarahan yang disampaikan adalah adalah versi moden khutbah dan syarahan yang diberikan adalah berkitar dengan ilmu yang bertaraf tinggi. Dimana syarahan tersebut adalah komitmen kepada idea supaya pelajarnya boleh diubah untuk memimpin atau membawa kehidupan yang bermakna dan mempunyai tujuan kepada masyarakat di luar sana.

Kemudian kolej itu menjadi tempat melahirkan ahli politik, pemimpin, dan berbagai lagi orang berpengaruh dalam menentu hala tuju masyarakat.

Namun kolej itu berevolusi sejajar dengan industri revolusi di mana kolej tersebut menjadi tempat melahirkan pekerja mahir yang akan memenuhi kehendak pasaran (kapitalis). Tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan fungsi asal mereka iaitu melahirkan pemimpin dalam menentu hala tuju masyrakat setempat. Kolej itu sekarang ini dikenali sebagai Havard University.

Tetapi di bumi tempat tumpahnya darah kita, fungsi menjadi pemimpin dalam menentukan hala tuju masyarakat seolah tidak wujud. Mereka yang masuk ke alam universiti ditekankan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja semata-mata.

Kerana itu saya faham yang Scientist Frust dan rakan yang lain juga kecewa dengan momokan mitos ini.

Tetapi sebenarnya banyak yang boleh anda terokai sebagai graduan sains. Anda boleh memulakan sendiri progam TV berkenaan sains, tunjukkan sexy science kepada orang awam seperti program mythbuster, science guys, dan lain-lain. Selain itu, boleh jadi konsultant untuk penulis drama dan filem berkenaan filem fiksyen sains, anda juga boleh jadi penulis novel fiksyen sains atau menulis buku berkenaan sains.

Boleh sahaja kita menawarkan diir kepada penulis buku/skrip, propose idea untuk merangka plot dan fakta untuk novel/filem sains fiksyen yang mempunyai fakta saintifik di Malaysia. (Saya kini juga sedang giat menulis buku fiksyen sains, nantikan kemunculannya, insyaallah).

Selain itu, anda juga boleh jadi editor buku rujukan atau memulakan sendiri buku rujukan yang kini di dominasi oleh syarikat-syarikat gergasi di luar sana dan lain-lain. Anda juga boleh rebut kontrak untuk menterjemah buku popular sains ke dalam Bahasa Melayu. (di Indonesia bidang ini berlambak-lambak, di Malaysia banyak digerakkan oleh ITBM sahaja, itupun tak banyak).

Juga, anda boleh mulakan komik dan Majalah Sains yang agak kurang di Malaysia. Pendek kata, kerja dalam bidang sains ini sangat banyak. Yang paling klise tetapi sebenarnya industri bernilai ratusan ribu ringgit adalah industri home tutor dan pusat tusyen.

Jika kita lihat di dunia perfileman dan drama, ramai graduan fizik menjadi penasihat seperti filem Interstellar, siri kartun Futurama, siri Mythbuster, siri Science Guy, siri The Simpson, dan banyak lagi.

Pendek kata, saya tidak mampu senarai satu persatu.

Rakan saya ramai yang berkata, sebagai graduan sains mereka mempunyai beberapa kelebihan dalam skil analisis setelah bersusah payah bertahun-tahun dalam bidang sains. Dia menceburi bidang marketing dan dia telah gunakan beberapa skill matematik, fizik, dan beberapa lagi subjek yang pernah dipelajari semata-mata untuk pemasarannya terarah. Sebagai contoh adalah subjek statistik, senang faham model risk analysis. Dia juga turut mempelajari psikologi manusia dan mengaplikasinya. Dia juga mengatakan tidak susah untuk mempelajari matematik marketing dan akhirnya dia telah menjadi orang penting dalam kumpulan pemasaran kerana skil analisis yang tinggi.

Namun, dalam reaksi kepada confessor tersebut, segelintir reaksi generasi X dan yang sebelumnya terhadap confession itu amatlah mengecewakan sebenarnya. Dimana confessor itu mengajak masyarakat untuk merungkai dan memberi pendedahan awal berkenaan mitos itu. Amatlah tidak adil apabila generasi X dan yang sebelum ini menikmati berbagai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh generasi Y memarahi dan memerli-merli generasi Y. Sedangkan waktu mereka dahulu, ada ijazah sudah cukup untuk menjadi pensyarah. Ijazah pointer cukup makan pun senang dapat kerja. Selepas bergraduasi, tidak perlu tunggu lama untuk di’posting’ dan di panggil untuk bekerja. Taraf diploma pun sudah dapat kerja bergaji besar dan mampu sekurangnya membeli kereta dan rumah dan masih boleh menyara isteri suri rumah dan anak tiga empat orang.

Genrasi X dan atasnya menyuruh generasi Y bersyukur dan jangan memilih kerja, kerjalah apa bidang sekalipun. Sedangkan hakikatnya ramai sahaja golongan generasi Y bekerja di dalam bidang yang bukan mereka mahu atau kepakaran mereka. Banyak generasi Y yang bekerja bidang 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) di luar negara kerana gajinya yang setimpal dengan kos sara hidup yang dihadapi. Ada yang hidupnya sangat minimalis semata-mata untuk mengumpulkan wang. Iya, saya tidak nafikan yang ramai generasi Y juga mempunyai gaya hidup yang tidak setimpal dengan pendapatan, sebagai buktinya banyak generasi Y muflis kerana hutang kereta dan diikuti dengan penjaman persendirian. Namun pinjaman perumahan juga adalah salah satu punca ketiga utama dalam faktor generasi Y muflis.

Seperti apa confessor itu sarankan, sudah tiba masanya generasi X dan Y sedar akan polemik momokan mitos universiti dan berbicara tentangnya. Pendedahan ini perlu dilakukan kepada generasi Z dan generasi yang akan datang. Tetapi yang paling penting adalah mendidik generasi Y, Z, dan generasi seterusnya dengan fungsi sebenar unversiti kepada masyarakat. Generasi Y, X dan sebelumnya haruslah bersifat terbuka dengan perbincangan mitos ini.

Bukanlah melenting apabila generasi Y itu sendiri tidak memaknai fungsi Universiti dan menghargai ilmu yang dimiliki. Kerana generasi Y lahir dengan didikan generasi X dan generasi sebelumnya.

Sudah tiba masanya graduan kita ditekankan untuk menjadi perintis barisan hadapan sesuatu gerakan (perjuangan) yang memacu pencerahan sesuatu masyarakat.

Sudah tiba masanya generasi Z dan seterusnya mengembalikan fungsi utama universiti sebagai tempat memikul tanggungjawab sebagai tempat perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Di mana tempat bertempurnya idea dan falsafah. Tempat berentap disiplin ilmu, dan meluaskannya.

Secara konklusinya, apa yang dibangkitkan oleh confessor itu adalah sesuatu yang perlu disambut baik oleh semua pihak dan membincangkannya. Akar kepada confessor itu adalah mitos masuk universiti yang semakin menjalar di dalam masyarakat. Jadi saya mengajak semua generasi untuk menghentikan mitos itu dan menjelaskan realiti kepada generasi Y, Z, dan generasi seterusnya.

Selain itu juga, graduan sains sebenenarnya boleh mencipta dan menjelajah sendiri peluang pekerjaan sains yang baru dan sebenarnya boleh berintergrasi dengan apa-apa bidang di luar sana.

Tambahan, fungsi utama graduan yang menjadi perintis barisan hadapan sesuatu gerakan (perjuangan) yang memacu pencerahan sesuatu masyarakat perlu ditekankan. Malah, fungsi utama Universiti sebagai ladang ilmu dan pertempuran idea dan falsfah harus diterapkan.

Padigma kita terhadap Universiti itu sendiri haruslah diubah oleh semua orang termasuk lah generasi X dan sebelumnya, generasi Y, generasi Z, dan generasi selepas generasi Z. Iaitu, Universiti bukanlah semata-mata untuk menghasilkan para pekerja sahaja, tetapi turut melahirkan pemimpin dan pemacu arah perkembangan masyarakat.

Walaubagaimanapun, ini adalah pendapat peribadi saya (penulis) dan masih terbuka untuk perbincangan dan kritikan.

Penulis: Musoddiq, Pelajar Sains Tulen Generasi Y

Rujukan:

  1. Andrew Delbanco, Professor of Humanities
    Columbia University, “Interview in Ivory Tower Documentary”, Ivory Tower, 2014.
  2. Harizati Azizan (2014), “Rakyat Malaysia Berbangga Dengan Anugerah Nobel Keamanan”, dicapai pada 14 ogos 2017 di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/08/24/hadiah-nobel-keamanan/
  3. Haris Zuan (2013) “Anak Muda Generasi Bankrap”, dicapai pada 14 ogos 2017 di https://www.roketkini.com/2013/12/20/anak-muda-generasi-bankrap-c-oleh-haris-zuan/.
  4. Harisz (2009), “Memikir Semula Peranan Asasi Universiti”, dicapai pada 15 Ogos 2017 di https://diskopi.wordpress.com/2009/04/17/memikir-semula-peranan-asasi-universiti/.

Bacaan lanjut

  1. ZF Zamir (2017), “Masyarakat Tidak Perlukan Universiti”, dicapai pada 15 Ogos 2017 di https://otak.dubookpress.com/masyarakat-tidak-perlukan-universiti/
  2. Musoddiq (2016), “Kenapa Bekerja Dalam Bidang Yang Kita Pelajari Adalah Satu Mitos”, dicapai pada 16 Ogos 2017 di https://www.thevocket.com/bekerja-bidang-dipelajari-satu-mitos/.
  3. Musoddiq (2015), “Nasihat Penuntut Sarjana Sains Kepada yang ingin Menceburi Bidang Sains Peringkat Universiti” di capai pada 16 Ogos 2017 di http://www.majalahsains.com/nasihat-penuntut-sarjana-sains-kepada-yang-ingin-menceburi-bidang-sains-peringkat-universiti/

Setiap artikel akan dibayar RM8