Tak mahu suntik vaksin dan Vitamin K, bayi akhirnya mendapat pendarahan otak

Mengumpulkan semua jenis cerita daripada segenap masyarakat.

Tak mahu suntik vaksin dan Vitamin K, bayi akhirnya mendapat pendarahan otak

Aku seorang Pegawai perubatan di sebuah hospital. Aku nak cerita satu kejadian ini yang telah berlaku 3 tahun yang lalu. Rasa marah yang amat dalam diri ini bila fikir kes tersebut.

Pada ketika itu, aku bekerja di Bahagian Obstetrik iaitu bahagian ibu mengandung. Memang jadi rutin harian aku untuk periksa wanita hamil yang tiada ataupun yang ada komplikasi seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sebenarnya bila jadi doktor dibahagian obstetrik, kami juga kena jaga bahagian sakit puan iaitu Ginekologi.

Ada suatu hari tu datanglah seorang pesakit yang hamil dengan tanda tanda nak bersalin. Ada ‘contraction’ yang kerap dan keluar tanda seperti darah daripada bawah. Kami periksa pesakit seperti biasa. Buku pinknya kemas dan setiap kali temujanji dengan doktor datang tanpa sebarang komplikasi.

Pemeriksaan dilakukan secara keseluruhan seperti biasa. Alat Cardiotocography(CTG) diletakkan di perut pesakit untuk melihat bacaan jantung bayi dan keputusannya normal. Pemeriksaan bukaan serviks pula menunjukkan serviks telah terbuka sebanyak 6cm. Kalau 6cm ini, dah kena tolak ke dalam dewan bersalin. Sampai waktu ni si suami tidak bercakap apa-apa lagi dan kami pun rasa pesakit ini tidak akan mendatangkan apa-apa masalah.

Sampai di labour room(dewan bersalin), suami pesakit tersebut memberikan dua surat kepada doktor.

Surat pertama adalah birth plan untuk pesakit. Shittt!!! Berdebar-debar aku nak baca surat tu sebab nak fikir apa lah yang nak kena explain dengan ibubapa pesakit.

Dalam birth plan itu cakap,

  • Tak nak ubat untuk kuatkan contraction. Sebab nak bagi hormon semulajadi dalam badan untuk keluarkan bayi tersebut
  • Pesakit perlu dibenarkan untuk makan-makanan ringan seperti kurma dan minum air
  • Pesakit perlu dibenarkan untuk berjalan-jalan
  • Tidak mahu guna ubat tahan sakit
  • Nak pakai essential oil untuk dewan bersalin
  • Tidak mahu potong tali pusat
  • Ingin menggunakan posisi mesra graviti(Mungkin maksud dia posisi all 4 position)

Bukak pula surat yang kedua. Lagi rasa macam berdebar ini. Macam boleh agak dah kandungannya.

Surat yang kedua pula bertulis yang dia tidak mahu anaknya menerima sebarang suntikan selepas lahir dan memberi amaran untuk mengenakan tindakan undang-undang jika perkara tersebut dilanggar. Kan aku dah agak dah

Maksudnya suntikan vaksin dan juga Vitamin K yang digunakan untuk elakkan pendarahan pada bayi seperti pendarahan otak dan sebagainya itu tidak akan diberikan kepada bayi.

Rasa marah ya amat. Setan manakah yang merasuk dan menghasut ibubapa tu pada saat-saat akhir ini. Menidakkan pemberian vaksin dan vitamin K itu seolah-olah meletakkan risiko kepada bayi tersebut. Aku sudah jelaskan komplikasinya terutamanya yang tidak mahu suntikan tu. Datang pula pakar untuk jelaskan. Pasangan tu masih lagi menolak apa-apa suntikan yang akan diberikan.

Pendek cerita, bayi tu lahir tanpa komplikasi dan kami buat delayed cord clamping sahaja. Itupun lepas bertekak sedikit dengan ayahnya yang nak jugak tak mahu tali pusat itu dipotong. Selepas sehari, ibu dan anak itu keluar daripada hospital tanpa komplikasi. Alhamdullilah. Tetapi apa yang aku risaukan jika ada komplikasi selepas daripada itu. Risau kena demam campak yang boleh menyebabkan kematian. Risau pendarahan dalam badan yang juga boleh menyebabkan kematian.

Setelah lebih kurang 20 hari, ada seorang kawan ini daripada bahagian kanak-kanak (paediatrik) bertanya kepada aku berkenaan satu pesakit. Pada mulanya aku tak ingat nama pesakit tersebut, tetapi setelah melihat rekod anak dan emaknya, barulah aku teringat bahawa inilah bayi yang tidak menerima suntikan vaksin dan Vitamin K sebelum ini.

Kawan aku bertanyakan butiran pesakit dan apa yang telah berlaku, semua aku ceritakan dan aku tanya balik apa yang telah berlaku.

Kawan aku pun menceritakan bahawa bayi itu telah masuk ke dalam NICU disebabkan pendarahan di dalam otak. Dia kata ia mungkin disebabkan pesakit tidak menerima suntikan Vitamin K ketika pesakit lahir. Bahkan pendarahan otak itu terlalu teruk hingga menyebabkan mereka merasakan pesakit tidak mampu diselamatkan.

Hati ini rasa berkecamuk. Marah campur sedih. Tak tahu nak cakap macam mana. Bayi yang masih kecil dan tidak berdosa ini telah terzalimi disebabkan ibubapanya yang degil.

Setelah beberapa hari, bayi tersebut telah pun meninggal dunia. Ya. Ia disebabkan hemorrhagic disease of the newborn secondary to Vitamin K deficiency. Puas hati

Aku berharap sangat ibubapanya rasa serba salah terdapat pemergian anaknya. Ada orang lain susah nak mengandung, nak dapat seorang anak pun susah contohnya macam aku ni. Setelah  6 tahun kahwin, baru dapat seorang anak. Kau pulak senang-senang je memperjudikan nyawa anak sendiri disebabkan kepercayaan yang mengarut itu. Akhir sekali, datang juga jumpa doktor yang kau tidak percaya ini.

Semoga kisah ini menjadi tauladan ibubapa diluar sana. Kami doktor ini bukan nak bagi anak-anak anda sakit. Kami nak diorang sihat. Sebab itulah kami cuba sedaya yang boleh. Kami dah tengok pelbagai kes yang teruk disebabkan ibubapa yang degil ini.

Jadi, tolonglah. Jangan disebabkan anda, anak anda tidak boleh lagi hidup di dunia ini.

Penulis: ARM

Kongsikan confession anda di sini: Kongsi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *